JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa hilang ekoran bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi, dikhuatiri melebihi angka 17 orang yang sebelum ini dilaporkan masih hilang, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, hari ini.
Setakat semalam, 19 mayat telah ditemukan manakala 14 lagi selamat sementara 17 lagi dilaporkan masih hilang dalam kejadian bot karam di perairan tersebut kira-kira 4.30 pagi, Rabu.
Beliau berkata, perkara yang menambah kebimbangan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada ketika ini ialah angka sebenar pendatang tanpa izin yang masih hilang dipercayai melebihi 17 orang, hasil maklumat yang diperoleh daripada 14 mangsa yang terselamat.
“Situasi ini sudah tentu memberi cabaran kepada aset-aset SAR yang terlibat untuk melakukan pencarian di samping terpaksa mengharungi keadaan laut yang bergelora ketika musim monsun ini,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd Zubil berkata pihaknya turut berdukacita dan memandang serius kejadian meragut nyawa ramai mangsa.
“Tragedi malang seperti ini boleh dielakkan sekiranya pendatang tanpa izin dan sindiket penyeludupan manusia tidak bersekongkol menyeludup masuk ke negara ini melalui pintu haram dengan mempertaruhkan nyawa belayar ketika cuaca buruk, ombak setinggi tiga ke lima meter serta kelajuan angin mencecah 50 kilometer sejam,” tambah beliau.
Menurut Mohd Zubil, berdasarkan rekod, sejak Op Benteng dilancarkan pada Mei 2020 bagi mengekang aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin, semua aset-aset agensi di bawah koordinasi National Task Force sentiasa melaksanakan rondaan dan pemantauan yang ketat di perairan negara.
Beliau mendedahkan hampir setiap malam terdapat cubaan menyusup masuk, namun dengan pemantauan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) milik Maritim Malaysia, telah berjaya mengesan 1,110 sasaran curiga dengan 689 telah diusir keluar dari perairan Malaysia.
“Meskipun kawalan ketat di sempadan negara telah diuar-uarkan secara meluas, namun masih terdapat pendatang tanpa izin yang bersikap degil untuk menyusup masuk hingga membawa padah kepada diri mereka sendiri.
“Bertambah malang, sindiket penyeludupan pula langsung tidak berhati perut malah mereka sentiasa mencari ruang dan peluang untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan risiko nyawa,” tambah beliau.
Dalam insiden cuaca buruk seperti ini, bot-bot pemintas penguat kuasa juga turut mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan aset dan penguat kuasa, apatah lagi bot-bot kecil seperti bot pancung yang tidak berupaya mengharungi gelora laut di samping tidak dilengkapi peralatan keselamatan, kata Mohd Zubil lagi.
Beliau berharap agar tragedi menyayat hati itu dapat menjadi pengajaran dan membuka mata pendatang tanpa izin serta sindiket penyeludupan supaya tidak mempertaruhkan nyawa dengan melalui jalan yang tidak sah.
“Maritim Malaysia akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan negara terutamanya di kawasan hotspot di Johor Timur yang menjadi laluan utama kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini, selain terus mempertingkatkan kerjasama bersama pihak berkuasa Indonesia menerusi perkongsian maklumat agar sindiket penyeludupan manusia dapat diburu dan dilumpuhkan ke akar umbi,” kata beliau.
Mereka yang ditahan dan disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan boleh didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM 2007). – Bernama