Home Sukan Kejohanan Dunia: Yew Sin- Ee Yi teruskan kemaraan ke suku akhir

Kejohanan Dunia: Yew Sin- Ee Yi teruskan kemaraan ke suku akhir

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mengekalkan momentum permulaan mereka yang baik dan menempah satu slot ke suku akhir Kejohanan Dunia BWF di Huelva, Sepanyol hari ini.

Bagaimanapun, kemaraan mereka bukannya mudah bagi beregu pilihan kesembilan itu apabila perlu bertarung selama satu jam lapan minit untuk mengatasi beregu pilihan kelapan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India, 22-20, 18-21, 21-15 dalam perlawanan pusingan ketiga di Palacio de los Deportes Carolina Marin.

Beregu nombor 12 dunia itu akan bertemu Juara Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan yang menewaskan beregu muda negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 21-18, 17-21, 21-18.

Pada masa sama, pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong masih berjaya mengekalkan impian untuk menjadi juara dunia berikutan kemenangan mereka ke atas Bjarne Geiss-Jan Colin Volker.

V Shem-Wee Kiong, yang merupakan beregu pilihan ke-10 mengalahkan gandingan bukan pilihan dari Jerman itu 21-14, 14-21, 21-17.

Pemenang gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula tewas kepada beregu China He Ji Ting- Tan Qiang 21-17, 14-21 dan 16-21 yang bangkit pada set kedua dan set penentuan.

Ji Ting-Qiang akan berhadapan V Shem-Wee Kiong bagi menentukan slot ke separuh akhir esok.

Sementara itu, dua beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See gagal mara ke peringkat seterusnya selepas mereka tewas kepada lawan masing-masing.

Pasangan pilihan kesembilan Kian Meng-Pei Jing kalah kepada pilihan ketiga Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun 19-21, 19-21 sementara pasangan Jerman Mark Lamsfuss-Isabel Lohau mengatasi Pang Ron-Yee See 21-13, 13-21, 21-18. – MalaysiaGazette