KUALA LUMPUR – Selangor FC dilaporkan semakin hampir untuk menandatangani dua pemain kebangsaan dari Jordan dalam usaha memperkukuhkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Yazan merupakan pemain berusia 25 tahun dan sebelum ini dia banyak beraksi dalam saingan Liga Jordan bersama Al-Jazeera dari tahun 2015 hingga tahun lalu sebelum menyertai Al-Wehdat pada awal tahun ini.
Bagi Abdel-Rahman pula, dia merupakan pemain berusia 34 tahun dan mempunyai pengalaman luas beraksi di beberapa liga negara Asia barat antaranya Jordan, Qatar, Arab Saudi dan Kuwait.
Pada temasya Piala Asia 2019, Yazan dan Abdel-Rahman tersenarai dalam skuad Jordan yang menyaksikan pasukan itu tewas kepada Vietnam menerusi penentuan sepakan penalti pada peringkat 16 pasukan terakhir.
Namun sehingga saat ini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Selangor FC mengenai dua pemain ini.
Bagaimanapun Yazan menerusi laman media sosial Instagram miliknya mengumumkan dia sudah menandatangani kontrak bersama skuad Gergasi Merah bagi menghadapi saingan musim hadapan.
Selain dua pemain skuad kebangsaan Jordan ini, pasukan bimbingan Michael Feichtenbeiner itu juga semakin hampir untuk mendapatkan khidmat penjaga gol pasukan negara, Sam Somerville serta beberapa pemain lain seperti Zahril Azri dan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Fazly Mazlan.
Musim lalu, Selangor menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima dan mara sehingga ke peringkat suku akhir yang mana mereka tewas kepada pasukan yang muncul juara sekaligus seteru utama Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur City FC. – MalaysiaGazette