Home Sukan Liga Super: Hafizul Hakim pilih Penang FC

Liga Super: Hafizul Hakim pilih Penang FC

Hafizul Hakim. Foto Facebook Penang FC.

KUALA LUMPUR – Masa depan bekas penjaga gol Perak FC, Hafizul Hakim terjawab apabila kelab Penang FC hari ini mengumumkannya sebagai pemain baharu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Kehadiran Hafizul menamatkan pencarian Penang untuk posisi penjaga gol utama selepas mereka kehilangan khidmat Sam Somerville yang berhijrah ke Lembah Klang untuk menyertai Selangor FC.

Penjaga gol yang berusia 28 tahun ini mempunyai rekod 96 penampilan dengan pasukan Perak sejak musim 2016.

Antara pencapaian terbaiknya bersama Perak ialah membantu pasukan itu raih gelaran naib juara Liga Super 2018 dan menjuarai Piala Malaysia pada tahun sama.

Hafizul pernah menerima panggilan pertamanya untuk menyertai skuad Harimau Malaya bagi perlawanan persahabatan menentang pasukan Indonesia pada 6 September 2016 di Stadium Manahan, Solo.

Bagaimanapun dia tidak bermain dalam perlawanan itu dan berada di bangku simpanan.

Hafizul juga terpilih dalam skuad 23 pemain Malaysia untuk Kejohanan Piala AFF 2016.

Hafizul Hakim. Foto Facebook Penang FC.

Sebagai penjaga gol pilihan ketiga di belakang Khairul Fahmi dan Khairul Azhan, dia tidak akan beraksi di Kejohanan Piala AFF itu di mana Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan.

Pada 22 Mac 2017, dia membuat penampilan sulungnya untuk Malaysia sebagai pemain simpanan ketika menentang Filipina dengan keputusan seri 0–0 pada perlawanan persahabatan itu. – MalaysiaGazette