Home Utama MAPS: Tidak timbul kerajaan negeri Perak rugi atau berhutang – Menteri Besar

MAPS: Tidak timbul kerajaan negeri Perak rugi atau berhutang – Menteri Besar

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH – Kerajaan Negeri Perak tidak pernah membiayai projek taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru yang kini akhirnya menjadi projek gajah putih.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sebaliknya berkata, projek itu dibiayai oleh PCB Development Sdn. Bhd. (PCBD) melalui pinjaman daripada beberapa institusi kewangan.

Jelas beliau, PCBD merupakan anak syarikat kepada Perak Corporation Berhad (PCB) yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Namun Saarani mengakui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak memiliki saham sebanyak 56 peratus dalam PCB tetapi tidak terlibat dalam urusan pelaburan PCBD.

Justeru tegas beliau, tidak timbul kerajaan negeri rugi atau pun berhutang seperti yang didakwa.

“Sebagai Menteri Besar, hari ini saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan negeri tidak terlibat dengan sebarang hutang dan tidak bertanggungjawab untuk membayar hutang berkenaan.

“Oleh yang demikian, kerajaan negeri juga tidak mencampuri urusan perniagaan syarikat berkenaan kerana ia diuruskan secara profesional oleh lembaga pengarah dan badan pengurusan syarikat.

“Dalam erti kata lain, kerajaan negeri tidak mempunyai ’locus standi’ untuk mencampuri urusan syarikat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2022 pada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

MAPS yang dibuka Jun 2017 sepatutnya menjadi tarikan utama pelancong ke Perak namun disebabkan masalah kewangan, taman tema itu akhirnya ditutup pada Januari tahun lalu.

Notis penutupan MAPS mulai 28 Januari 2020 sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn. Bhd. (ATP) daripada Messrs Ernst & Young.

Pada Selasa lalu, seoarang pemimpin pembangkang negeri ini mengakui kegagalan projek taman tema MAPS di Meru bukan salah kerajaan negeri sedia ada.

Namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming berharap kegagalan projek itu tidak diulangi yang menyebabkan kerajaan negeri kini menanggung hutang.

Beliau menjelaskan, taman tema yang ditutup pada Januari tahun lalu pernah dibantah pembangunannya oleh pembangkang dan kini akhirnya menjadi projek gajah putih.

Jelas beliau, penutupan projek itu menyebabkan anak syarikat kerajaan negeri, Perak Corporation Berhad (PCB) berhutang sebanyak RM810 juta. – MalaysiaGazette