IPOH – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Perak mengambil langkah awal dengan melaksanakan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif bagi memberi kesedaran tentang permasalahan miskin haid sepanjang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, ia melibatkan Program Advokasi KafeTEEN@PIK dengan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.
Menurut beliau, program itu bagi menyebarkan maklumat pengurusan haid kepada 576 peserta perempuan di peringkat sekolah rendah dan menengah dengan sasaran umur lapan tahun hingga 24 tahun yang diadakan secara dalam talian.
“Selain itu, Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak) juga menganjurkan program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Seksual melibatkan 12 siri webinar dengan kerjasama Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Federation of Reproductive Health Assosiation Malaysia bertujuan bagi mendidik masyarakat tentang aspek kesihatan wanita dan kanak-kanak.
“Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) turut mengambil inisiatif memberi bantuan secara one-off kepada golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan pemberian barangan tuala wanita, pampers dan susu tepung kanak-kanak di 18 buah
daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soalan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Wan Norashikin menambah, kerajaan negeri bersama Sekretariat Wanita Perak merancang menganjurkan program pemberian Kit Asas Kebersihan Wanita bagi membantu mereka yang mengalami kesukaran, kekurangan atau ketiadaan untuk mendapatkan kelengkapan haid seperti tuala wanita.
“Inisiatif ini untuk memperkasa remaja wanita terutamanya golongan B40 samada dalam atau luar bandar serta masyarakat Orang Asli, agar meningkatkan ilmu pendidikan dan advokasi kesihatan reproduktif semasa haid agar lebih yakin dan mengurangkan tekanan di kalangan remaja,” katanya.
Wan Norashikin memberitu, di Perak, dianggarkan 1,730 orang remaja perempuan yang menghadapi permasalahan miskin haid dan kajian yang lebih tepat sedang dikumpul oleh LPPKN negeri bersama Sekretariat Wanita Perak.
Kata beliau, kajian turut melibatkan pelbagai jaringan rakan strategik kolaborasi daripada agensi kerajaan, swasta dan NGO terutamanya menerusi sekolah-sekolah, agar faktor yang menyumbang kepada kemiskinan haid dapat dikaji dan memberi langkah terbaik untuk jangka masa panjang. – MalaysiaGazette