Home Seni Hidup Adam gembira, teruja dapat pergi Legoland

Adam gembira, teruja dapat pergi Legoland

Hasrat adik Mohammad Adam Amsyar untuk ke Legoland akhirnya tercapai apabila dia bersama keluarga hari ini dibawa ke taman tema berkenaan. .

JOHOR BAHRU – Bapa kepada adik Mohamad Adam Amsyar Abdul Rahman, pesakit jantung terbalik terkejut dan gembira apabila menerima panggilan daripada Legoland petang semalam.

Katanya, pengurusan taman itu memaklumkan Tunku Ismail Sultan Iskandar akan menanggung sepenuhnya perbelanjaan anak dan keluarganya ke taman tema itu.

“Saya kurang ingat jam berapa mereka telefon, tetapi hanya Allah yang tahu hati saya ini, yang paling gembira sudah pasti Adam dan kakak dia.Dari semalam pun dia seolah-olah tidak sabar nak ke Johor Bahru.

“Terima kasih banyak-banyak kepada media kerana laporan ini banyak rezeki anak-anak saya.Terima kasih pada semua yang membantu.

“Ramai yang telefon saya nak bantu selepas media buat kisah anak saya. Syukur. Terima kasih semua” katanya.

Abdul Rahman berkata, dia dan keluarga termasuk emak saudara Adam akan menginap di taman tema berkenaan selama semalam dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Tunku Ismail.

Sementara itu, Adam Amsyar yang dihubungi dihubungi Malaysia Gazette gembira dengan berita itu.

“Suka sangat-sangat. Nak ajak ayah dengan kakak dan makcik.Tak sabar,”katanya.

Semalam media melaporkan hasrat kanak-kanak berusia 9 tahun yang ingin ke Legoland, namun niatnya tidak kesampaian kerana kesempitan hidup yang dialami keluarganya.

Dalam hantaran di Facebook semalam, Tunku Mahkota Johor itu berkata, beliau akan memenuhi hasrat adik Adam untuk ke Legoland.

Malah, beliau turut menyatakan akan perubatan Adam

“Alhamdulillah kita jumpa nanti,” katanya. – MalaysiaGazette