Home Nasional Air naik terlalu cepat, terpaksa pindah ke PPS

Air naik terlalu cepat, terpaksa pindah ke PPS

Ahli keluarga Noraziah Mohd Som selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir dan terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Kampung, Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2021.

KLANG – Sebuah keluarga dari Kampung Delek Kanan, di sini, tidak menyangka air banjir yang naik begitu cepat naik malam tadi sehingga memaksa mereka berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek.

Mangsa banjir, Noraziah Mohd Som, 62, berkata, dia bersama ahli keluarga dibantu oleh jiran untuk ke PPS berkenaan kira-kira pukul 3.30 pagi.

Lebih merisaukan Noraziah apabila seorang anak saudaranya kini sedang sarat mengandung dan terpaksa dibawa berpindah ke PPS itu.

Noraziah Mohd Som. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2021.

“Biasa memang tak pernah banjir, kalau hujan lebat air hanya naik setakat paras jalan di hadapan rumah. Sebab itu kami sekeluarga pada mulanya tidak begitu risau sehingga lah selepas waktu Maghrib apabila air sudah mulai memenuhi kawasan dalam rumah.

“Pada mulanya kami hanya ingin menumpang di rumah anak saudara di belakang tapi rumahnya turut dimasuki banjir dan akhirnya memaksa kami ke sini kira-kira pukul 3.30 pagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di SRA Kampung Delek hari ini.

Ujar Noraziah, seramai 12 ahli keluarganya yang menetap di dua buah rumah dibawa berpindah ke PPS berkenaan termasuk tiga cucu.

Tambah Noraziah, sejak tinggal di situ lebih 30 tahun lalu, ini merupakan pertama kali kediamannya ditenggelami banjir.

“Kami cuma bawa dokumen penting sahaja bersama baju dan bantal. Barang-barang lain pun dah banyak rosak seperti peti ais tapi apa boleh buat air naik terlalu cepat.

“Apabila sampai di PPS, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyediakan sebuah khemah, toto dan tikar untuk kegunaan kami,” ujarnya.

Walaupun berada dalam keadaan cemas selepas kediamannya ditenggelami air, Noraziah tidak lupa untuk membawa haiwan kesayangannya iaitu seekor kucing jantan bernama Didi untuk berpindah ke PPS.

Seorang lagi mangsa banjir, Shahril Shaharudin, 46, dari Kampung Delek Baru, berkata, sejurus kediamannya mula dinaiki air, dia terus membawa kedua-dua anaknya serta isteri untuk berpindah ke PPS.

Shahril Shaharudin. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2021.

“Hujan memang tak berhenti daripada semalam, sekitar pukul 3.30 pagi air dah mula naik sehingga paras lutut.

“Terus saya bawa anak-anak ke PPS kerana khuatir akan keselamatan mereka sebab kita tidak boleh nampak kalau ada binatang berbisa di dalam air banjir,” ujarnya.

Tambah Shahril lagi, sudah beberapa kali kawasan berhampiran rumahnya dinaiki air namun ini merupakan situasi terburuk yang pernah dialaminya.

“Memang biasa (banjir) daripada belum ada tadahan air sungai sampai dah ada tadahan air sungai, jika air pasang berterusan itu yang menyebabkan banjir,” katanya yang sudah lebih enam tahun menetap di kampung tersebut. – MalaysiaGazette