Home Seni Hidup Lima kali banjir, kali ini paling teruk – Penduduk Kampung Delek Kiri

Lima kali banjir, kali ini paling teruk – Penduduk Kampung Delek Kiri

Penduduk Kampung Delek meredah banjir selepas kediamannya dinaiki air berikutan hujan lebat berpanjangan bermula dari pagi sehingga lewat malam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2021.

KLANG – “Sepanjang saya menetap di sini, sudah lima kali banjir melanda namun kali ini paling teruk,” luah Abdul Basir Abdul Hadi.

Itu situasi yang terpaksa dihadapi Abdul Basir, 55, dari Kampung Delek Kiri selepas hampir separuh kediamannya ditenggelami banjir.

Menurut Abdul Basir, hujan lebat yang turun sejak semalam mengakibatkan kebanyakan rumah di kawasan tersebut ditenggelami air dan kesemua kenderaan terpaksa diletakkan di bahu jalan.

Abdul Basir Abdul Hadi. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2021.

“Lebih kurang pukul 12 tengah malam tadi memang air dah naik tinggi, saya pun tak sempat nak selamatkan semua barang hanya yang penting sahaja seperti barangan elektrik.

“Kalau nak ikut malam tadi banjir memang hampir separas pinggang sebab itu di tepi-tepi jalan penuh kereta penduduk kampung, mereka terpaksa parkir di situ risau keadaan semakin buruk.

“Ada juga penduduk yang sudah pergi ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan ada juga yang sudah dijemput oleh anak-anak mereka. Saya pula risau hendak tinggalkan rumah, jadi terus sahaja di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Dalam nada kecewa, Abdul Basir berkata, pembangunan pesat dengan infrastruktur yang tidak seiring juga dianggap sebagai punca mengapa hampir keseluruhan Kampung Delek kini ditenggelami banjir.

“Seingat saya tahun 2002 agak teruk, 2012 pun sama cuma kali ini memang paling teruk dari kebiasaan kerana kesemua jalan utama pun tenggelam.

“Kita bukan hendak menuduh atau menuding jari tapi lihat lah keadaan alam sekarang sehingga boleh banjir seteruk ini ketika di zaman moden.

“Kononnya kawasan baharu dibangunkan dengan perancangan strategik, peningkatan ekonomi dan kemajuan tapi realiti sebenar pula bagaimana? Ini lah yang terpaksa ditanggung oleh penduduk seperti kami,” luahnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ismariza Ismail, 41, dari Taman Delek Kiri, dia tidak menyangka hujan lebat yang turun sejak petang semalam menyebabkan separuh daripada kediamannya kini ditenggelami air.

Penduduk Ismariza Ismail mengeluarkan air yang masuk ke dalam rumahnya berikutan hujan lebat berpanjangan bermula dari pagi sehingga lewat malam semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2021.

Jelas Ismariza, sebelum ini jika berlaku hujan lebat tanpa henti hanya kawasan dapurnya sahaja dinaiki air separas buku lali.

“Tapi kali ini memang terkejut apabila air naik sehingga paras lutut, saya hanya sempat selamatkan dokumen penting dan naikkan semua barang-barang lain ke atas meja.

“Malam tadi pun kami sekeluarga tidur dalam keadaan ketakutan kerana memikirkan banjir yang masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk surut,” katanya yang sudah lebih empat tahun menetap di kawasan perumahan itu.

Seorang lagi penduduk Taman Delek Kiri, Azezul Abu Hashim, 40, berkata, ini merupakan kali pertama dia bersama keluarga berhadapan dengan situasi banjir yang agak buruk.

Azezul Abu Hashim. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2021.

“Sedar-sedar malam tadi air dah mula naik, lepas itu saya beritahu isteri untuk kemas barang-barang yang penting terutama barangan elektrik kerana mahu mengelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

“Kalau tengok hari ini hanya sedikit sahaja paras air yang surut berikutan hujan masih lagi lebat,” kata bapa dua anak itu.

Tinjauan MalaysiaGazette di Kampung Delek Kiri dan Kampung Delek Kanan di sini mendapati rata-rata kediaman masih lagi ditakungi air selain banjir yang melimpah sehingga ke atas jalan utama.

Sebilangan penduduk juga dilihat mengemas barangan penting untuk menginap di rumah saudara-mara sebagai langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat yang masih lagi tidak berhenti. – MalaysiaGazette