KUANTAN – Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun dari Jambatan Sungai Sri Damai, Kampung Sri Damai, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian sekitar 12.25 tengah hari itu mangsa Mohd Firdaus Supiardi, 26, dikatakan menunggang motosikal ke lokasi berkenaan dan setibanya di situ dia terus bertindak terjun ke sungai berkenaan.
Beliau berkata, menurut saksi, mangsa yang tidak bekerja itu kelihatan cuba berenang ke tebing sungai namun gagal berikutan arus deras susulan hujan lebat.
“Sejurus menerima maklumat, operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan bersama anggota bomba dan sehingga kini usaha mengesan mangsa masih diteruskan. Punca sebenar mangsa terjun dari jambatan itu masih dalam siasatan,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dan Kuantan, terlibat dalam operasi berkenaan.
Katanya, operasi mengesan mangsa dilakukan secara pengesanan di permukaan air dengan menggunakan bot aluminium dibantu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART). – Bernama