Home Pendapat Pendekatan bermain, tangani kebergantungan Internet dalam kalangan kanak-kanak

Pendekatan bermain, tangani kebergantungan Internet dalam kalangan kanak-kanak

Seorang kanak-kanak leka bermain permainan di gajetnya semasa orang ramai menunaikan solat tarawih pada malam pertama solat sunat tarawih ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK

INTERNET adalah rangkaian jaringan komputer yang terbesar yang menghubungkan berjuta-juta komputer di seluruh dunia. Internet berupaya mengubah cara hidup dan gaya komunikasi pelbagai lapisan masyarakat dunia dan tidak mustahil hari ini ianya menjadi teknologi pilihan pengguna.

Umum mengetahui, sifat internet itu sendiri memerlukan penglibatan aktif pengguna dan keadaan ini akan menggalakkan kebergantungan sesiapa sahaja terhadap internet termasuklah kanak-kanak. Mereka bergantung kepada internet untuk memahami persekitaran sosial, untuk berinteraksi, dan juga memenuhi keperluan sosial masing-masing. Anak-anak muda kini dikatakan sebagai digital natives kerana mereka dilahirkan dan dibesarkan pada zaman Revolusi 4.0.

Hakikatnya, teknologi memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka ilmu pengetahuan, belajar dan menonjolkan kreativiti mereka, namun pada masa yang sama, ia mampu meningkatkan pendedahan terhadap risiko seperti buli siber, kecaman, dan eksploitasi seksual yang boleh mengancam dan membahayakan kesihatan mental serta kesejahteraan kanak-kanak.

Senario sedemikian jika dibiarkan berlarutan akhirnya akan menggugat pembangunan jati diri dalam kalangan kanak-kanak. Jati diri adalah sifat atau ciri yang unik dan istimewa yang menjadi teras atau lambang keperibadian seseorang individu. Pembentukan jati diri dan karakter seorang kanak-kanak hendaklah bermula sebelum umurnya mencapai kematangan.

Fitrah seseorang kanak-kanak itu adalah bermain. Kanak-kanak dan permainan tidak dapat dipisahkan dan merupakan antara elemen yang penting dalam mempengaruhi perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak. Menurut kajian, bermain adalah bahasa semulajadi kanak-kanak, manakala alat permainan itu adalah perkataan-perkataan mereka.

Mengimbau kembali zaman kanak-kanak kita dahulu, ke bukit sama didaki, ke lembah sama dituruni. Secara tidak langsung, interaksi yang berlaku sesama manusia dan alam, membina jati diri yang tahan lasak dan kuat, berani, yakin diri, dan berjiwa besar. Pertumbuhan fizikal tumbuh dengan baik serta perkembangan psikologi dirangsang dengan pengalaman kehidupan yang sebenar.

Dalam bidang kaunseling, terapi bermain dikenali sebagai intervensi yang berkesan terhadap kesejahteraan mental kanak-kanak. Antara refleksi bermain yang dibuat oleh Caplan & Caplan, “Play is free from evaluation and judgement, thus it is safe to make mistakes without failure.”

Ibu bapa adalah disarankan untuk mewujudkan aktiviti rutin harian di rumah dan luar rumah yang menghiburkan agar mampu membentuk akhlak dan budi kanak-kanak sebagai perisai supaya anak-anak tidak lagi terikat menggunakan gajet berlebihan apabila berasa bosan. Menghadkan penggunaan teknologi moden dapat memastikan anak-anak menumpukan lebih perhatian dan disiplin terhadap aktiviti pembelajaran dan aktiviti bersama keluarga.

Mengajak bermain atau bercanda dengan anak-anak tidak akan mengurangkan wibawa sebagai orang tua. Rasulullah s.a.w. suka bermain dengan kanak-kanak, malah baginda tidak malu bermain dengan mereka.

Aishah meriwayatkan dalam hadis: Aku bermain anak patung di sisi Rasulullah SAW bersama-sama beberapa teman. Apabila Rasulullah SAW masuk ke ruang itu, kami berselindung daripadanya, lalu mereka berkumpul mendekatiku dan mereka pun bermain-main denganku. (HR Bukhari).

Contoh permainan yang boleh membantu membentuk fizikal dan jasmani yang sihat dan kuat adalah seperti bola sepak, badminton, berlari, berkuda, memanah, dan berenang. Manakala permainan yang boleh membentuk perkembangan mental, kecerdasan dan kreativiti kanak-kanak seperti catur, rekacipta dan melukis. Permainan yang boleh memberi pengetahuan tradisi adat dan budaya seperti ting ting, konda kondi, batu seremban, congkak, guli, dan gasing.

Konklusinya, kepesatan teknologi akan terus berkembang seiring dengan peredaran waktu. Justeru, didikan dan bimbingan yang berterusan daripada ibu bapa adalah sangat penting untuk memastikan kanak-kanak mengambil manfaat daripada kebanjiran sumber teknologi di sekeliling mereka. Pendekatan bermain yang disarankan dapat meningkatkan jati diri dalam kalangan kanak-kanak dan dapat mengurangkan kebergantungan mereka terhadap internet. Saidina Umar al Khattab berkata, “Didiklah anak-anakmu sesuai dengan zamannya, kerana mereka hidup di zaman mereka, bukan pada zamanmu”.

Raja Nurulhuda Raja Ibrahim, Isma Samarahan