Home Nasional Tujuh anggota bomba terselamat jentera ditenggelami banjir

Tujuh anggota bomba terselamat jentera ditenggelami banjir

Banjir Melaka
Jentera bomba yang tenggelam namun tujuh anggota sempat lari menyelamatkan diri

ALOR GAJAH – Tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah berdepan detik cemas apabila jentera bomba dan sebuah kenderaan utiliti dinaiki ditenggelami banjir ketika sedang melakukan operasi di Kampung Pengkalan Paoh, Lubok China di sini awal pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penolong Penguasa Bomba Soon Wee Kiang berkata, ketika kejadian, pasukan berkenaan sedang mengalihkan pokok tumbang di atas jalan di hadapan Balai Polis Lubok China.

“Saya difahamkan ketika itu banjir tidak begitu dalam sebelum tiba-tiba paras air yang melimpah dari Sungai Lubok China naik mendadak menyebabkan anggota yang berada di situ tidak sempat mengalihkan jentera bomba dan kenderaan utitili terbabit.

“Dalam masa yang amat singkat, air meningkat ke paras lebih dua meter mengakibatkan hampir keseluruhan jentera tenggelam, namun anggota bertugas sempat lari menyelamatkan diri ke bangunan tinggi Balai Polis Lubok Cina yang turut ditenggelami banjir,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Wee Kiang berkata, sehingga jam 3 petang ini, jentera dan kenderaan utiliti terbabit masih belum dapat dialihkan kerana paras banjir yang belum surut.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dalam kenyataan berkata, banjir kilat berpunca daripada paras air sungai yang naik mendadak susulan cuaca hujan berterusan sejak petang semalam sehingga pagi tadi.

“Keadaan itu menyebabkan Balai Polis Lubok China dan pekan ditenggelami banjir sekaligus menjadi banjir terburuk sehingga menenggelamkan separuh bangunan balai polis.

“Semoga warga balai polis dan masyarakat sekitar dalam keadaan selamat dan dipermudahkan urusan perpindahan ke tempat yang selamat,” katanya hari ini. – MalaysiaGazette