Home Nasional 28,272 anggota bomba bersiap sedia hadapi banjir

28,272 anggota bomba bersiap sedia hadapi banjir

Reezal Merican terlibat dalam taklimat di Pusat Gerakan Bencana Bomba Selangor di Shah Alam semasa lawatan hari ini.- Gambar Ihsan JBPM

SHAH ALAM – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengarahkan 28,272 anggota bomba bersiap sedia untuk dikerah berikutan bencana banjir di beberapa buah negeri sejak semalam.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, daripada jumlah kekuatan itu, seramai 12,839 keanggotaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Manakala seramai 1,874 keanggotaan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan 13,559 keanggotaan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

“Manakala seramai 4,069 orang anggota pasukan khas di seluruh negara terdiri daripada PPDA, EMRS, HAZMAT dan STORM telah turut diarah untuk bersedia dalam operasi banjir Monsun Timur Laut 2021 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan turun meninjau Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Selangor di sini hari ini.

Tinjauan Reezal Merican itu bertujuan mendengar taklimat penuh kesiapsiagaan JPBM dalam menghadapi keadaan semasa situasi banjir  luar jangka di negeri Selangor.

Menurut beliau, setakat ini seramai 4,819 orang anggota bomba termasuk Pasukan Bomba Bantuan (PBB) telah diatur gerak untuk membantu kerja-kerja menyelamat dan membawa mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Bagi negeri terlibat, sebanyak 125 kenderaan angkut dan 214 bot telah digerakkan oleh JBPM ke kawasan terlibat banjir.

“JBPM juga terlibat dalam operasi banjir luar jangka di negeri Selangor apabila beberapa kawasan seperti Seksyen 13, Klang, Shah Alam dan sekitar Kuala Lumpur telah dinaiki air secara mendadak dan jumlah mangsa yang terjejas juga tinggi di negeri ini.

“Justeru, hari ini bilangan keanggotaan bomba ditingkat kepada seramai 1,855 anggota telah digerakkan ditempatkan di tujuh zon membabitkan 35 balai bomba di seluruh negeri ini dalam operasi menyelamat dan memindah mangsa banjir di sekitar negeri berkenaan.

“Negeri Selangor mencatat panggilan kecemasan tertinggi dengan jumlah panggilan sebanyak 1,929 berbanding jumlah keseluruhan 1,747 sehingga 19 Disember ini,” ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau mengambil ketetapan untuk tidak menyebut angka jumlah mangsa yang terjejas akibat bencana banjir ini dan membiarkan ia dikeluarkan secara rasmi dan muktamad oleh pihak pengurusan bencana negeri Selangor.

Malahan katanya, barisan anggota JBPM telah berada dalam siapsiaga bersama-sama NADMA, ATM, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam dan agensi lain yang terlibat untuk melaksanakan operasi bencana banjir ini.

Reezal Merican juga memberitahu persediaan JPBM juga melibatkan kekuatan logistik darat dan air seperti fire rescue tender, kenderaan angkut, bot aluminium, transmisi pacuan empat roda dan lain-lain aset JBPM berjumlah 1,259 buah unit selain Bilik Gerakan Monsun Timur Laut juga telah diaktifkan di semua negeri.

Beliau juga mengarahkan pasukan bomba dan kementerian supaya meneliti perkara yang luar daripada kebiasaannya dibuat pihaknya.

Katanya, secara lazim anggota bomba yang pergi menyelamat, mereka hanya menumpukan sepenuhnya operasi menyelamat mangsa sahaja.

“Jadi, dalam keadaan sekiranya ada mangsa yang terperangkap di atas bumbung tanpa makanan dan sebagainya,kebiasaannya membekalkan makanan berlaku di pusat pemindahan sementara.

“Tapi saya sudah mengarahkan agensi-agensi di bawah KPKT untuk meneliti supaya kita juga (pasukan bomba penyelamat) menghantar makanan yang akan dibawa pihak bomba untuk dibekalkan kepada mangsa selain operasi menyelamatkan mereka termasuk untuk yang terperangkap dalam banjir di tengah jalan lebuh raya tanpa akses kedai makanan,” ujarnya.

Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi talian kecemasan Nasional Disaster Command Centre (NDCC) di 03-8064 2400 sekiranya memerlukan bantuan kecemasan dan juga balai-balai bomba berdekatan.

Beliau juga mengarahkan kementerian dan jabatannya meneliti tindakan pasca banjir iaitu kemudahan di bawah PBT yang rosak akibat banjir dan mengenalpasti kemudahan awam yang perlu diperbaiki segera tanpa ambil masa yang lama.- MalaysiaGazette