Home Utama 32 selamat, tiga masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Bentong

32 selamat, tiga masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Bentong

Banjir lumpur

KUANTAN – Tiga termasuk seorang kanak-kanak lelaki hilang dipercayai dibawa arus dalam kejadian banjir lumpur di sebuah chalet di Bentong, kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani.

Beliau berkata semua mereka merupakan sebahagian daripada 35 individu yang berada di chalet berkenaan dan terperangkap akibat banjir lumpur pada 11.40 malam tadi.

“Kesemua mereka (yang hilang) merupakan warganegara tempatan dengan dua lagi, masing-masing seorang dewasa lelaki dan wanita, namun setakat ini, identiti mereka masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ismail, mangsa yang selamat termasuk lapan kanak-kanak ditemukan dalam keadaan kesejukan setelah berada di luar chalet kerana tidak berani berada dalam chalet yang dibimbangi tidak selamat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan sebaik sahaja dimaklumkan kejadian dan pasukan penyelamat telah berjaya menjumpai mangsa yang terselamat pada 4.09 pagi sebelum operasi membawa keluar tamat pada 8.30 pagi tadi.

Bagaimanapun katanya selepas kiraan mangsa dibuat, tiga mangsa tidak ditemui, katanya.

Operasi itu dikendalikan Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands yang dibantu BBP Gombak dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Pahang.

Operasi mencari mangsa hilang hari ini yang melibatkan 22 pegawai dan anggota bomba serta tiga anjing pengesan, ditangguhkan pada 6.30 petang tadi ekoran cuaca gelap dan akan bersambung esok. – BERNAMA