LUBOK CHINA – Kira-kira 800 penduduk di empat buah kampung di Lubok China di sini bukan sahaja terputus jalan akibat banjir, bahkan juga terputus bekalan elektrik dan air bersih sejak lebih 24 jam lalu.
Empat kampung berkenaan adalah di Titian Bintangor, Sawah Raja, Sungai Timun, Sungai Jerneh yang mempuyai kira-kira 200 buah rumah terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini sejak Jumaat lalu.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, penduduk terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan tanah tinggi sebelum berjalan meredah banjir ke luar untuk mendapatkan bekalan asas.
Penduduk Kampung Titian Bintangor, Mazlan Mat Laji, 49 berkata, ini adalah kejadian banjir terburuk di kawasan terbabit pada tahun ini sehingga ada kawasan penduduk dinaiki air sehingga ke paras hampir empat meter menenggelamkan keseluruhan rumah.
“Air naik begitu pantas bermula jam empat pagi semalam akibat hujan lebat dan sejak Jumaat lalu menyebabkan ada beberapa kawasan ditenggelami banjir sehingga empat meter.
“Terdapat kira-kira 200 rumah keseluruhan terjejas dengan yang paling teruk adalah 20 buah rumah hampir tenggelam sepenuhnya,.
“Malah, jalan utama menuju ke Pekan Lubok China juga terputus mengakibatkan kami terkandas di sini,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan.
Seorang lagi penduduk Kampung Sungai Jerneh, Mohd Zaidi Abdul Muiz, 40, berkata, keadaan banjir yang semakin buruk mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa memotong bekalan elektrik sejak awal pagi semalam selain bekalan air paip juga terpaksa dipotong.
“Bekalan api dan air mulai terputus sejak 5.30 pagi semalam, namun masih belum ada penduduk kampung mahu berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) kerana mahu menjaga rumah yang dibimbangi berlaku kejadian lebih buruk.
“Jika cuaca baik, banjir mungkin akan surut dalam sehari dua namun jika hujan berterusan keadaan ini mungkin berpanjangan sehingga lebih seminggu lagi.
“Namun perkara ini sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa termasuk wakil rakyat yang sedang berusaha membantu penduduk,” katanya.
Sementara itu, TNB Careline dalam satu kenyataaannya berkata, pihaknya terpaksa menutup bekalan elektrik di beberapa pencawang bagi memastikan keselamatan para pengguna di 11 lokasi banjir di Alor Gajah.
Kawasan terjejas bekalan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal adalah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pengkalan, Kampung Panchor dan Kampung Beringin.
Manakala bagi DUN Rembia, DUN Tanjung Bidara dan DUN Taboh Naning kawasan terjejas masing-masing adalah Taman Seri Bayu 1 dan 2, Kampung Jeram Masjid Tanah dan Kampung Taboh Naning selain Pekan Lubok China dan Ramuan China Besar bagi DUN Ayer Limau.
“Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.
“Sebagai tips keselamatan, penduduk diminta sentiasa berhati-hati ketika cuba mengendalikan peralatan elektrik kerana bekalan mungkin akan dipulihkan pada bila-bila masa,” katanya. – MalaysiaGazette