Home Seni Hidup Berebut tandas, roti dan air mineral di stesen minyak Batu Tiga

Berebut tandas, roti dan air mineral di stesen minyak Batu Tiga

Banjir berikutan daripada hujan berterusan sejak semalam yang mengakibatkan beberapa jalan sekitar Batu Tiga Lama ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sekitar Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Berebut roti, tandas dan air mineral di stesen minyak.

Itu antara nasib yang dialami ratusan mangsa yang kenderaan mereka terperangkap di Batu Tiga, Shah Alam dekat sini sejak semalam.

Selepas ‘bermalam’ dalam kenderaan masing-masing dalam keadaan hujan – perut lapar hanya diisi makan ringan seperti roti di stesen minyak berdekatan.

Bagi seorang pekerja syarikat haiwan peliharaan, Wan Khairuddin Wan Sulaiman, 47, dia sudah terperangkap di Shah Alam sejak pukul 5 petang semalam ketika mahu pulang ke Bangi.

Wan Khairuddin Wan Sulaiman

“Nasib baik ada stesen minyak, kami semua berebut guna kemudahan dan beli roti, charge telefom pun minta tolong pekerja di sana,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Wan Khairuddin, pagi ini ada NGO menghantar bubur lambuk untuk bersarapan dan mereka menganggap ia menu paling ‘menyelerakan’ hari ini.

Bas awam yang tersangkut akibat banjir berikutan daripada hujan berterusan sejak semalam yang mengakibatkan beberapa jalan sekitar Batu Tiga Lama ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sekitar Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 DISEMBER 2021.

Bagi mereka mangsa yang terperangkap di sebelah kawasan yang ada stesen minyak, mereka lebih beruntung kerana masih ada tempat membuang air.

Bagaimanapun bagi mereka yang terkandas di seberang kawasan itu, ia agak sulit kerana terpaksa meranduk air menyeberangi jalan untuk ke stesen minyak.

Lebih memburukkan keadaan, malam tadi ada yang terpaksa membuang air kecil di dalam botol sahaja.

Menurut Wan Khairuddin, rata-rata mangsa masih belum dapat keluar memandangkan air masih belum surut walaupun hujan sudah berhenti.

Menurutnya, masalah yang berlaku semalam tidak akan kronik sekiranya pihak berkuasa melakukan tindakan awal membuka penghadang jalan bagi membolehkan kenderaan membuat pusingan u dari Lebuhraya Persekutuan.

“Ia hanya dibuka di Batu Tiga sahaja, sepatutnya dari Padang Jawa atau berhampiran bandar Shah Alam juga dibuka bagi memudahkan kami membuat u turn.

“Satu lagi, kenderaan dari Kuala Lumpur masih dibenarkan masuk ke Shah Alam menyebabkan lebih ramai yang tersangkut, sepatutnya mereka kena u turn dari awal,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Shah Alam terkepung, ramai terkandas sejak semalam