KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan hari ini satu lagi loji rawatan air (LRA) terpaksa dihentikan serta merta berikutan insiden banjir besar yang berlaku.
Loji LRA kedua yang ditutup operasinya ialah LRA Semenyih 2 berikutan peningkatan paras air yang telah masuk ke rumah pam air mentah.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri telah mengesahkan pemberhentian operasi LRA 2 itu dalam kenyataan terbaharu malam ini.
“Berikutan henti tugas loji rawatan air ini, sebanyak 70 lagi kawasan di Wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual,” katanya.
Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor,” katanya malam ini.
Untuk makluman para pengguna juga, Elisa menambah, maklumat terkini bagi loji-loji rawatan air yang telah dihentikan tugas operasi adalah LRA Cheras Batu 11 yang mana operasi masih belum dimulakan berikutan limpahan air ke rumah pam.
Justeru katanya, di LRA Sungai Langat, kadar pengeluaran air telah dikurangkan berikutan kekeruhan air mentah yang tinggi dan limpahan air ke rumah pam.
“Manakala bagi LRA Langat 2, penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan masih lagi dilaksanakan.
“Jangkaan untuk kesemua loji-loji rawatan air ini beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini memandangkan paras air masih lagi berada pada paras kritikal,” ujarnya.
Justeru Air Selangor juga perlu memastikan semua peralatan di loji rawatan air berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor terutamanya melibatkan arus elektrik.
Untuk memastikan bekalan air tidak terganggu kepada pengguna, sebanyak 63 lori tangki air sedang digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Banjir: Dua LRA henti operasi, gangguan bekalan air Lembah Klang