Home Utama Peruntukan RM100 juta baiki rumah rosak mangsa banjir – PM

Peruntukan RM100 juta baiki rumah rosak mangsa banjir – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan sesuatu dengan salah seorang mangsa banjir, Siti Norsiah Mohd Tohid yang menderita penyakit lumpuh ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Klang, Selangor. Foto MALAYSIA GAZETTE, 19 DISEMBER 2021.

KLANG – Kerajaan mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk membaiki rumah dan infrastruktur yang rosak akibat banjir yang berlaku sejak semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi tujuan itu, kerjasama akan dilakukan bersama kerajaan negeri terlibat termasuk Selangor.

“Peruntukan ini akan ditambah dari masa ke masa mengikut keperluan.” katanya melalui sidang media yang disiarkan secara dalam talian di media sosialnya hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mengumumkan bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 untuk setiap ketua isi rumah yang terkesan akibat banjir ini dan bayaran bantuan ini akan disegerakan bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan bencana ini.

Ismail Sabri juga mengumumkan cuti kecemasan kepada semua kakitangan awam yang terkesan akibat bencana banjir.

“Untuk kakitangan swasta, syarikat disarankan memberi pekerja cuti berbayar atau paid leave dengan tidak menolak peruntukan cuti tahunan dan gaji mereka.” ujarnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, penyaluran bantuan RM50 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) akan disegerakan bagi memastikan kelangsungan bantuan kepada isi rumah yang terkesan akibat banjir.

“Saya juga telah mengarahkan Kementerian Kewangan supaya institusi perbankan bersedia untuk menawarkan program bantuan pembayaran bagi peminjam-peminjam yang terkesan akibat banjir,” katanya lagi. – MalaysiaGazette