Home Nasional Bekalan air dari LRA Semenyih 2 diagihkan berperingat-peringkat

Bekalan air dari LRA Semenyih 2 diagihkan berperingat-peringkat

KUALA LUMPUR – Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 telah dimulakan dan bekalan air bersih akan dibekalkan semula kepada pengguna di kawasan yang terjejas secara berperingkat-peringkat.

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 10 malam ini.

Manakala LRA Sungai Langat telah dimulakan sepenuhnya dan proses pemulihan bekalan akan diumumkan kelak.

Pengurusan Air Selangor menambah, proses pengepaman air mentah telah dimulakan di LRA Langat 2 dan proses pemulihan bekalan akan diumumkan nanti.

Bagi LRA Cheras Batu 11, proses pembersihan loji rawatan air berikutan insiden banjir sedang dilaksanakan.

”Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini. Air Selangor juga perlu memastikan semua peralatan di loji rawatan air berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor terutamanya melibatkan arus elektrik,” katanya.

Air Selangor menambah, bantuan alternatif melalui lori tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Air Selangor juga memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. – MalaysiaGazette