Home Di Bawah Kolong Bukan banjir biasa-biasa ni…

Bukan banjir biasa-biasa ni…

Penduduk di Hulu Langat terpaksa menyelamatkan diri mencari perlindungan di bumbung surau kerana air naik dengan cepat di kawasan mereka.

INI bukan banjir kilat lagi dah.. ini banjir musim tengkujuh, kata seorang kawan dalam perbualan telefon kami pada pagi Sabtu, 18 Disember 2021.

Ketika itu hujan mencurah-curah sejak tengah hari Jumaat, 17 Disember lagi. Tapi tidak ada siapa pun menduga, hujan Jumaat itu melarat hingga ke pagi Sabtu, menyebabkan banyak kawasan dan jalan dinaiki air.

Ingat kan banjir kilat saja, sebab itu yang sinonim dengan Selangor dan Kuala Lumpur. Tiap hari, tak kira musim panas, luruh atau sejuk, Selangor/KL selalu hujan. Hujan beserta dengan ribut petir.

Hujan pada Jumaat itu tidak sikit pun dijangka itu petanda banjir. Malah, tidak ada pun amaran awal dari Jabatan Kaji Cuaca (MetMalaysia) mengenai hujan berpanjangan akan berlaku di Selangor/KL.

Rakyat, termasuk aku, tidak terfikir akan berlaku banjir dengan keadaan hujan yang tak henti-henti itu. Sehingga pagi Sabtu, dalam cuaca hujan, aku hidupkan enjin kereta, kononnya nak cari makanan di pusat bandar Shah Alam.

Dua kanak-kanak bermain banjir di halaman rumah yang dinaiki air di Seksyen 24, Shah Alam.

Sebaik keluar dari pagar rumah, keadaan di jalan agak lenggang. Biasa, dalam jam 9 pagi, kereta dah berderet, penuh. Pagi tu memang lenggang selenggang lenggangnya.

Sampai di simpang jalan, kira-kira 500 meter dari rumah, aku tengok ada banyak kereta berhenti tepi jalan. Orang ramai juga berkumpul di laluan masuk ke simpang nak ke pusat bandar.

Ada jentera Bomba dan Penyelamat. Ada polis. Ada kakitangan MBSA. Lalu orang sebelah kata, “air la…”, “air limpah atas jalan.. patutlah sesak, jalan tutup.. naik air.

Aku cuba menenangkan orang sebelah, walaupun aku juga dalam kebinggungan dengan keadaan yang berlaku. Rupa-rupanya mereka yang berkumpul di simpang jalan itu tidak tidur sejak malam lagi.

Mereka alih kenderaan ke kawasan lebih tinggi. Sambil-sambil memantau paras air, yang ketika itu dikatakan semakin naik.

Kereta penduduk yang tidak sempat dialih ketempat selamat hampir tenggelam dalam kejadian banjir di Selangor, semalam.

Aku pula terpaksa gunakan jalan utama nak ke pusat bandar. Aku ketika itu tak tahu dengan pasti apa yang berlaku. Aku teruskan juga memandu. Kata orang, kalau tak explorer kita tak tahu.

Kenderaan dah mula bersusun, bergerak perlahan-lahan. Jalan raya dah sesak, banyak kawasan dinaiki air.

“Eh, ni macam suasana musim tengkujuh di Kelantan ni,” kata aku pada orang sebelah.

“Iya la.. dengan keadaan cuaca gelap, hujan sejak tengah hari semalam tak henti-henti sampai sekarang, tak pernah berlaku lagi di Selangor ni,” bebel orang sebelah.

Masa yang sepatutnya 10 hingga 15 minit sampai ke pusat bandar pada hari biasa, pagi tu perjalanan aku hampir dua jam. Selepas mengisi perut, hati aku rasa tak sedap.

Ingat nak ke beberapa tempat lagi, tapi terpaksa batal. Tengok keadaan hujan yang makin lebat dan langit pula gelap keseluruhannya, aku buat perkiraan kena balik segera.

Aku keluar rumah jam 9 pagi, sampai di pusat bandar jam 11 pagi. Makan lebih kurang setengah jam, kemudian balik.

Lebuh Raya Persekutuan menghubungkan Shah Alam ke Klang terputus.

Dalam perjalanan balik, jalan yang aku datang tadi mula bertakung. Dalam setengah jam masa aku makan, dah berlaku banjir di beberapa tempat. Orang sebelah dah mula panik.

Sambil memandu dalam keadaan kenderaan banyak berhenti dari bergerak – kerana jalan sesak, aku buka Whatsapp. Mana tau kot-kot ada info mengenai keadaan cuaca, yang aku terlepas pandang.

Masya-Allah, rupanya beratus chat aktif dalam grup pejabat. Aku tak tengok Wasap sebab kebetulan cuti rehat dua hari – Jumaat dan Sabtu.

Dalam grup wasap tu Kumara, Kasthuri dan bos tengah kelam kabut melaporkan kejadian air naik, tanah runtuh, jalan ditutup dan sebagainya di lokasi sekian-sekian.

Aku pula masa tu dah terperangkap dalam hujan. Nak balik ikut laluan biasa tak boleh lagi dah, jalan dah dipenuhi air. Aku ikut saja kereta depan bergerak, asalkan dapat laluan selamat.

Dengan sedikit pengetahuan mengenai jalan di bandaraya Shah Alam ini, dapatlah membantu aku mencari jalan pulang yang aku fikir agak selamat dan terlepas dari banjir.

Dan, memang aku bernasib baik, walaupun ada tikanya kereta terpaksa mengharung air sedalam paras lutut, aku akhirnya selamat sampai di rumah. Jam masa tu menunjukkan 3 petang.

Kediaman penduduk di Shah Alam hampir tenggelam.

Bayangkan, hanya 30 minit pergi dan balik pada hari biasa, hari tu lima setengah jam aku terperangkap. Minyak kereta hampir separuh tangki habis. Bonet depan kelihatan berasap kesan enjin terlalu panas dengan bonet basah.

Di rumah, aku terus mengadap laptop. Monitor setiap berita yang ada mengenai banjir. Sekali sekala hubungi keluarga di kampung tanya khabar diri dan cuaca. Di Kelantan, kata mereka cuacanya baik-baik saja, hanya hujan sebelah malam.

Di Selangor/KL pula keluar info ramalan cuaca menyatakan Sabtu dan Ahad akan berlaku hujan lebat.

Di luar sana keadaan sudah tidak terkawal. Aku tekun melayari media sosial Twitter dan Facebook. Tiap saat ciapan Tweet dan hantaran Facebook Menteri Besar Selangor melintas depan mata. Sebelum ni, susah nak tengok laman sosial dia aktif.

Datuk Seri Amirudin Shari melaporkan kesibukan dan kekelamkabutan pengurusan kerajaan negeri dalam mengurus bencana banjir.

Dia turut memaklumkan telah berhubung dengan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Pertahanan untuk dapatkan bantuan dan tenaga anggota Tentera Malaysia.

Khidmat Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan NGO sukarelawan diperlukan untuk membawa keluar mangsa banjir yang terperangkap.

Kali ini bukan banjir kilat lagi. Ini memang sah-sah banjir besar. Puluhan ribu terperangkap dalam kereta di jalan raya, lebuh raya, di rumah, di kompleks beli belah dan di mana-mana saja.

Sepanjang 14 tahun aku di Selangor, tak pernah berlaku banjir begini besar, teruk dan terburuk. Selalunya kejadian seperti ini berlaku di negeri Pantai Timur, setiap tahun.

Kekelamkabutan ini berlaku kerana kerajaan Selangor tidak ada pengalaman berdepan dengan kejadian seumpama ini. Hanya sekadar menangani banjir kilat saja.

Air semakin naik. Laju mengikut arus memenuhi dan melimpahi kawasan rendah serta lembah. Ribuan kereta tenggelam, ratusan hanyut. Air makin menggila naik. Penduduk terpaksa berpindah ke tempat lebih selamat.

Antara ribuan penduduk yang menyelamatkan diri mencari tempat perlindungan sementara.

Bantuan pula agak lambat sampai, rakyat makin penat dan letih menjerit meminta tolong. Ada yang terdampar dan terlantar di atas bumbung bangunan sementara menunggu bantuan sampai.

MB masih aktif melaporkan perkembangan semasa di Twitter dan Facebook. Setiap masa memaparkan nombor-nombor talian kecemasan yang boleh dihubungi mangsa banjir.

Cybertrooper pihak sebelah sana pula, termasuk dua tiga orang bertaraf peguam sibuk menyalah orang tu orang ni. Mengkritik kerajaan lembab dan lambat bertindak. Sampah-sampah ini langsung tidak membantu.

Hari Ahad, 19 Disember 2021, cuaca agak baik. Namun, kerja menyelamat masih diteruskan. Penduduk terperangkap dibawa ke pusat penempatan sementara (PPS). Bantuan sekadarnya dihulur. Cuti kecemasan juga diberikan hari ini, Isnin, 20 Disember 2021. – MalaysiaGazette