KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe menjelaskan strateginya yang menyaksikan pemain pertahanan tengah, Dion Cools diarahkan untuk beraksi di bahagian atas pada separuh masa kedua ketika menentang Indonesia malam tadi.
Beliau berkata, pemain kelab Midtjylland di Liga Denmark itu diperlukan untuk mencari gol penyamaan selepas Harimau Malaya ketinggalan pada separuh masa pertama.
“Kita cuba untuk menolak Dion Cools ke barisan hadapan kerana kita ketinggalan 1-2, dan kita perlukan gol penyamaan.
“Malangnya, kita dibolosi. Indonesia melalui beberapa set-pieces melakukan serangan balas.
“Menuju ke hujung perlawanan, kita membawa masuk Guilherme De Paula dan kita cuba segalanya untuk mendapatkan gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berakhir.
Malam tadi, impian skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 terkubur di Stadium Nasional, Singapura selepas tewas 4-1 kepada musuh tradisi, Indonesia.
Namun pada separuh masa kedua, Cheng Hoe membawa Dominic Tan untuk bergandingan dengan Junior Eldstal, Syahmi Safari dan juga Rizal Ghazali yang menyaksikan Cools bermain di bahagian atas.
Namun ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong dapat ‘membaca’ apa yang hendak dilakukan oleh Cheng Hoe dengan memasukkan pemain tinggi lampai di posisi pertahanan tengah, Elkan Baggott untuk menangani sebarang risiko bola tinggi masuk ke kotak penalti Indonesia.
Malah perancangan Cheng Hoe itu bukan sahaja gagal membuahkan hasil dan sebaliknya Elkan turut mencetak nama selaku penjaring gol ke-4 pada minit ke 82 hasil sepakan sudut di sebelah kanan gol Malaysia. – MalaysiaGazette