Home Nasional Kalau Sajat berani, balik Malaysia buat laporan polis – JAIS

Kalau Sajat berani, balik Malaysia buat laporan polis – JAIS

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad bercakap pada sidang media selepas majlis simbolik penyerahan bantuan Zakat Selangor Peduli bagi Program Pemutihan Maahad Tahfiz Selangor di Bangunan Sultan Idris di Bangunan Sultan Idris, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat dicabar untuk kembali ke tanah air dan buat laporan polis berhubung dakwaannya dicabul dan dikasari oleh anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menegaskan, JAIS tidak akan ada berkompromi sekiranya terbukti anggota penguatkuasaanya ada bertindak demikian.

“Kalau dia berani, datang balik buat laporan polis terhadap dakwaan tindakan yang dilakukan oleh pegawai saya (JAIS)

“Saya pun teruja ambil tindakan kepada pegawai-pegawai saya. Tapi dia kena balik Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis penyerahan sumbangan bantuan Zakat Selangor Peduli (ZSP) bagi Program Pemutihan Maahad Tahfiz Selangor di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, hari ini.

Beliau secara sinis berkata, Sajat hanya berani membuat dakwaan berkenaan setelah meninggalkan Malaysia.

“Isu Sajat ni sangat kecil pada saya, ketika dia di sini tidak pula dia kata macam-macam bila dah di sana macam-macam. Sedangkan kita sudah tidak ada kuasa bila dia ada di sana,” ujar beliau.

Mohd Shahzihan berkata, JAIS tidak ada ruang untuk mengekstradisi Sajat kerana pihak yang boleh berbuat demikian hanya polis.

Sajat kini menetap di Australia selepas berjaya meloloskan diri ke Thailand pada September lalu.

Isu Sajat dicabul penguatkuasa JAIS timbul ketika dia ditemubual oleh portal New York Times, sebuah organisasi berita yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut Mohd Shahzihan berkata, Sajat cuba mempengaruh umum apabila cuba mempertahankan penampilannya yang diubah menggunakan kenyataan yang mengelirukan.

“Sebagai agensi yang kerjanya menyelamatkan orang, menyelamatkan orang bukan semesti orang yang diselamatkan itu didakwa atau dihakimi. Kita mahu bawa Sajat kembali ke jalan yang benar. Kita tidak usik fizikal tapi perbuatannya.

“Sajat telah membawa agendanya yang salah tapi macam benar. Benar pada pandanganya dan mempengaruhi umum. Dia beranggapan identitinya yang berubah itu seolah-olah benar dan dibenarkan.

“Buktinya dia kata kalau dia salah kenapa dirinya tidak dilaknati, mengapa tidak mati? Kalau dia lihat begitu sebagai aturan untuk dia berkata benar, inilah yang kita tidak mahu. Allah tidak buat begitu, bukan begitu aturan Tuhan,” terang beliau lagi. – MalaysiaGazette