Home Nasional Kapasiti air empangan cukup tampung musim kemarau di P.Pinang

Kapasiti air empangan cukup tampung musim kemarau di P.Pinang

Air Empangan Teluk Bahang antara empangan digunakan untuk menampung kapasiti air pada musim kemarau di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kapasiti efektif tiga empangan utama di Pulau Pinang telah mencapai tahap sihat sekali gus mampu menampung musim kemarau akan datang.

Faktor utama tiga empangan terbabit kekal stabil susulan jumlah hujan yang tinggi di kawasan tadahan air empangan itu sejak Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, fenomena itu membuktikan hujan faktor utama untuk mengisi semula empangan Pulau Pinang ke tahap yang sihat.

“Status empangan semasa juga mencerminkan hakikat tiada yang salah dengan empangan dan kawasan tadahan air Pulau Pinang.

“Dari sudut kejuruteraan bekalan air, Empangan Teluk Bahang telah pulih pada Disember manakala Empangan Air Itam telah diisi semula ke paras selamat tepat pada masanya.

“Tidak seperti Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang yang menjadi kegunaan harian, Empangan Mengkuang berfungsi sebagai rizab strategik kemarau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Jaseni, PBAPP akan terus melakukan perancangan bagi memastikan bekalan air mencukupi pada tahun 2022.

Jelas beliau, pihaknya juga memerlukan kerjasama dan sokongan penduduk negeri ini untuk memastikan bekalan air mencukupi untuk pada tahun 2022 yang mana Pulau Pinang sedang berusaha untuk pulih daripada pandemik Covid-19 serta kesan sosio ekonominya.

“Kami akan terus memantau hujan, kapasiti efektif empangan dan paras air Sungai Muda setiap hari. Selain itu, kami juga akan melaksanakan bekalan air kawalan cuaca kering mulai Januari depan.

“Sehubungan itu, PBAPP menggalakkan semua pengguna air Pulau Pinang untuk terus menggunakan air secara bijak pada tahun baharu,” ujar Jaseni. – MalaysiaGazette