KUALA LUMPUR – Seramai lima orang maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, semalam.
Kejadian berlaku berhampiran Sekolah Kebangsaan Strass, Pakan, kira-kira 45 kilometer dari bandar Sarikei, Sarawak.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 3.56 petang.
“Sejurus menerima panggilan kemalangan itu sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor telah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 31 kilometer dari Bintangor.
“Apabila tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat satu kemalangan di lokasi tersebut yang membabitkan lapan orang mangsa dalam kemalangan itu selepas dua kenderaan iaitu Perodua Bezza dan kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux bertembung dan remuk teruk.
Komander Operasi, PBK II Samsawi Mohamad berkata, terdapat tiga orang mangsa dalam Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang lelaki manakala seorang penumpang wanita mengalami kecederaan parah manakala seorang lagi penumpang lelaki hanya cedera ringan.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan Perodua Bezza yang remuk teruk mendapati seramai lima orang mangsa yang menaiki kereta itu yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita maut di lokasi dalam kemalangan tersebut dan telah disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak bomba telah melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan tersebut dengan dengan kekuatan lapan anggota.
Kesemua mangsa yang maut berasal dari Rumah Panjang Rh. Regina, Selidap, Bintangor identiti mereka dikenal pasti sebagai Ngau ak Anggok, 48 tahun (pemandu lelaki), David ak. Ajot (29), Meringai ak. Bugor, Mau ak. Dol (perempuan 59 tahun) dan Sabrina Ruja ak. Daniel, 26 tahun.
Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan manakala kesemua lima mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.-MalaysiaGazette