COVID-19 telah melanda dan menghantui kita sejak awal 2020 di negara kita di Malaysia. Ia telah memberi kesan teruk kepada sistem kesihatan sehinggakan penyakit berbahaya lain seakan-akan ditolak dan dipandang sepi dek terpaksa menguruskan kes covid yang sabanhari saban meningkat di kala itu. Ini disebabkan keterpaksaan bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengurus pesakit Covid-19 yang mencecah sehingga puluhan ribuan kes sehari dan kakitangan kesihatan tidak menang tangan mengendali kes terutama di hospital.
Malah, banyak hospital dijadikan hospital khusus untuk Covid-19 di mana kes lain akan dirujuk ke luar hospital yang berdekatan. Contohnya , Hospital Sungai Buloh yang diwartakan sejak kemunculan virus bahaya ini melanda negara. Namun syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana kes semakin terkawal dan kita boleh melihat cahaya dihujungnya. Kemunculan varian Omicron walaubagaimanapun telah memberi cabaran baharu.
Kita masih bertungkus lumus dalam hal menjaga kesihatan disebabkan penyakit berangkai seperti darah tinggi , koleterol, obesiti dan jantung. Kesemua penyakit ini berisiko mengakbitakan penyakit kardiovaskular yang mengancam nyawa. Baru-baru ini Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin, amat gusar kerana Malaysia dikategorikan negara tidak sihat. Kesedaran mengenai aspek kesihatan yang masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia adalah antara faktor utama terjadinya begitu.
Ini berdasarkan statistik yang menunjukkan Malaysia antara negara tertinggi dalam beberapa masalah kesihatan termasuk penyakit kronik iaitu diabetis, darah tinggi , koleterol, obesiti dan jantung. Laporan tinjaun morbiditi peringkat kebangsaan 2019 (National Morbidity Survey 2019) melaporkan sebanyak 1.7 juta rakyat Malaysia mempunyai tiga faktor risiko utama yang terdiri daripada darah tinggi, diabetis dan tinggi kolesterol. Laporan tersebut juga melaporkan satu daripada lima rakyat Malaysia menghidapi diabetes, 3 daripada 10 darah tinggi dan 4 daripada 10 mengalami tinggi kolesterol.
Kesemua ini dikenali dan ada kaitan dengan penyakit berangkai. Berangkai bermaksud, sekiranya seseorang mengalami salah satu daripadanya, maka risiko mereka untuk mendapat penyakit kronik lain amat tinggi. Jarang sekali kita dapati seseorang hanya mendapat satu sahaja contonya diabetes, tanpa mendapat darah tinggi , koleterol mahupun sakit jantung. Penyakit diabetes merupakan penyakit kronik yang sangat bahaya sehinggakan ia digelar sebagai pembunuh senyap.
Hal yang demikian adalah kerana seseorang itu tidak mengalami apa-apa sakit walaupun darah mereka sudahpun tinggi dengan gula. Kajian menunjukkan tempoh senyap atau tempoh tanpa gejala ini adalah lebih daripada 5 tahun sebelum seseorang itu biasanya dapat dikesan mendapat penyakit diabetis jenis 2. Begitu juga dengan penyakit darah tinggi. Kebanyakan pesakit tidak sedar yang mereka sebenarnya sudah lama mendapat darah tinggi sebelum dikesan.
Ramai yang hanya di kesan semasa berjumpa doktor disebabkan oleh sakit lain seperti demam dan semasa membuat ujian kesihatan sebelum melanjutkan pelajaran atau naik pangkat. Perkara ini sewajarnya patut dielakkan kerana bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubat. Apabila penyakit tersebut sebenarnya telah lama “bertapak“ di dalam badan, maka komplikasi disebabkan oleh gula dan darah yang tinggi akan merosakkan organ dalaman. Ini termasuklah jantung, otak, sistem saraf, mata, dan buah pinggang.
Penyakit tinggi kolesterol pun begitu. Manakala penyakit jantung, kebiasaanya adalah disebabkan kesan diberikan oleh penyakit darah tinggi dan koleterol akibat gaya hidup yang tidak sihat. Lihatlah sekarang, zaman moden ini menyebabkan kita tidak aktif dengan adanya gadget yang kononya canggih, tetapi menjadi racun yang membunuh kesihatan kita.
Kemunculan makanan dan minuman yang ditambah lebih gula dan lemak sememangnya mencuri pelanggan untuk menikmatinya. Sedap dijamah namun tanpa kesedaran tinggi tentang wajibnya menjaga kesihatan, kita akan terjerumus dalam kategori berisiko mendapat penyakit berangkai. Jangan terpedaya kononnya kita tidak berisiko kerana kita tidak obes dan tiada sejarah keluarga yang mempunyai penyakit berangkai. Perlu diingat bahawa gayahidup yang tidak sihat semakin menjadi faktor utama sesorang menghidap penyakit berangkai itu. Semakin ramai pesakit tinggi kolesterol mempunyai jisim berat badan yang
optimum dan ramai juga pesakit jantung dialami oleh orang muda.
Negara akan mengalami kerugian bukan sahaja terpaksa membayar kos perubatan bagi merawat komplikasi , tetapi terpaksa mengalami kerugian disebabkan rakyatnya yang tidak sihat. Ini adalah kerana mereka tidak dapat bekerja kerana selalu terpaksa cuti sakit dan berjumpa doktor seterusnya bekerja hanya separuh hari. Kehilangan organ penting seperti buta dan kodong disebabkan komplikasi diabetes amat biasa dihadapi, seterusnya mengakibatkan pesakit tidak dapat bertugas seperti sediakala-ada. Mahal ada yang terpaksa pencen awal dan ada yang terpaksa bertukar tugas. Kesemua ini merupakan beban kepada syarikat dan umumnya kerajaan.
Berikutan itulah kerajaan telah mengenepikan belanjawan yang tinggi setiap tahun dalam bidang kesihatan demi memastikan rakyat sihat dengan memberikan harga khidmat kesihatan jauh lebih rendah berbanding negara luar. Menurut Menteri Kewangan Malaysia, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, negara berbelanja lebih RM70 bilion atau 5% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk penjagaan kesihatan pada tahun 2021. Subsidi ubat, perawatan dan ujian diagnostik adalah antara segmen dimana kerajaan dapat mengurangkan beban rakyat. Dengan bayaran hanya satu
ringgit, rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan di klinik dan hospital kerajaan-memang tidak masuk dek akal.
Oleh yang demikian sebagai rakyat Malaysia, wajiblah kita menjaga kesihatan kita sebaik mungkin. Berjumpalah dengan doktor bagi mengesan penyakit berangkai ini kerana pengesanan di peringkat awal banyak manafaatnya, disamping kita rasa lebih yakin menempuh hari-hari mendatang. Teruskan gaya hidup yang sihat agar dijauhi oleh penyakit berangkai yang boleh meragut nyawa kita pada bila-bila masa sahaja.
Oleh: Prof Madya Dr Mohd Radzniwan A Rashid,
Pensyarah Perubatan Keluarga,
Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)