JOHOR BAHRU – Kurang 50 hari menjelang perayaan dan cuti Tahun Baharu Cina, berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sudah tidak sabar mahu balik kampung.
Sinchew Daily melaporkan, rakyat Malaysia di negara jiran itu telah merebut tiket bas untuk balik ke tanah air pada akhir Januari di bawah program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) sehingga sistem tiket online lumpuh seketika.
Buat masa ini terdapat dua syarikat bas yang menjual tiket VTL iaitu Handal Indah dan Transtar.
Handal Indah mula menjual tiket untuk 10 Januari hingga 31 Januari tahun depan, namun orang ramai tidak boleh memasuki sistem apabila jualan mula dibuka pada tengah hari Jumaat (17 Disember).
Difahamkan, rakyat Malaysia cuba balik ke tanah air sebelum 31 Januari 2022 iaitu hari pra-Tahun Baharu Cina yang biasa dirayakan dengan “makan besar penyatuan” atau “reunion dinner.”
Ramai warganet telah mengeluh kepayahan mendapatkan tiket bas termasuk ada yang memberitahu mereka perlu sabar menunggu giliran kerana sistem menunjukkan ada lebih 78,000 orang di depan barisan.
Ada juga yang merungut kerana perlu menunggu dan berbaris lebih sejam sebelum dapat memasuki sistem.
Tinjauan wartawan pada 1.30 petang semalam mendapati laman tiket telah lumpuh dan gagal menyediakan perkhidmatan, tetapi kembali pulih 10 minit kemudian.
Semakan untuk tiket Transtar pula mendapati syarikat itu belum membuka jualan untuk tiket selepas 15 Januari, tetapi tiket untuk 14 Januari dan 15 Januari telah habis dijual. – MalaysiaGazette