Home Nasional Wang simpanan RM40,000 musnah

Wang simpanan RM40,000 musnah

Lapan unit rumah di Blok 31 Flat Sri Johor, Kuala Lumpur yang musnah dijilat api malam tadi. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan hospital swasta tidak menyangka wang tunai simpanannya sebanyak RM40,000 di rumahnya hilang sekelip mata dalam kebakaran rumahnya di Blok 31, Flat Sri Johor, Jalan Jelawat 2, Bandar Tun Razak, Cheras di sini malam tadi.

Dalam kebakaran itu, sebanyak 8 unit rumah telah hangus 100 peratus ketika pasukan bomba dan penyelamat telah tiba ke lokasi kebakaran jam 9.30 malam tadi.

Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua keluarga dari lapan buah rumah itu berjaya menyelamatkan diri mereka.

Mangsa kakitangan hospital swasta, Thialai Mary, 37, berkata, semasa kejadian dia berada di tempat kerja di Cheras sebelum dia mendengar siren jentera bomba kuat.

“Saya tak syak apa-apa sebelum menerima panggilan dari kakak memaklumkan rumah saya sendiri yang terbakar lalu bergegas balik.

“Saya terkejut kerana rumah saya sudah 100 peratus terbakar. Saya tidak boleh naik ke atas dan tiada peluang untuk menyelamatkan harta benda sebelum mencari ahli keluarga saya yang berjaya lari menyelamatkan diri.

“Mereka tak pasti dari mana kebakaran itu bermula kerana mereka mendengar jeritan api rumah terbakar terus turun menyelamatkan diri,” kata beliau kepada MalaysiaGazette di lokasi.

Dengan nada sebak, Mary berkata, wang simpanan tunai RM40,000 yang diletakkan dalam bilik di rumahnya di tingkat 4 musnah sepenuhnya bersama harta benda lain.

“Kesemua wang tunai kira-kira RM40,000 itu adalah hasil titik peluh simpanan saya bersama geran rumah dan beberapa sijil penting yang semuanya sudah musnah.

“Bayangkan saya sudah tinggal di sini selama 17 tahun dan sudah berjiran dengan yang lain seperti satu keluarga..kini rumah sudah tiada..saya tak tahu nak buat apa, otak saya kosong sampai tak boleh fikir langsung,” ujar dengan sebak.

Namun dia lega kerana tujuh ahli keluarga saya iaitu termasuk kakak dan kanak-kanak semuanya selamat tanpa sebarang kecederaan.

Kini keluarganya ditempatkan di Dewan Komuniti Flat Sri Johor.