BANTING – Penduduk di sekitar Jalan Kampung Mikon, Bukit Changgang mula membersihkan rumah masing-masing yang ditinggalkan sejak Ahad lalu berikutan banjir.
Banjir yang memasuki hari keempat di kawasan tersebut mula menunjukkan tanda-tanda air semakin surut.
Berikutan itu, Isman Saion dan anak-anaknya mula membersihkan rumah mereka sejak jam 7 pagi tadi.
Katanya, beliau bersyukur kerana paras air yang memasuki rumahnya tidak tinggi.
“Bermula dua hari lepas kita jangka air akan surut tapi hari kedua kita kena bersihkan rumah balik. Kita redha dan mudah-mudahan rezeki akan melimpah ruah di Bukit Changgang.
“Malam tadi saya lihat air sudah surut dan saya ambil kesempatan basuh rumah sejak 7 pagi tadi.
“Setakat ini hanya perabot-perabot seperti almari, kerusi meja yang musnah dan barang elektrik dapat diselamatkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelas Isman lagi, ini banjir yang paling besar pernah berlaku dalam 20 tahun lalu.
“Ini kali pertama kali berlaku kepada keluarga saya selama 20 tahun saya tinggal disini.
“Sebelum ini tidak pernah berlaku seperti ini, kalau ada pun sampai rumah depan sahaja. Ini mungkin kali pertama berlaku kepada kami,” katanya lagi.
bagi Khairin Afiq Mohd Subkhi, ini kali kedua beliau dan keluarganya membersihkan rumah mereka yang dinaiki air.
Berserah dengan takdir, Khairin Afiq berkata, mereka mengambil ketetapan untuk membiarkan air betul-betul surut sebelum membersihkan sepenuhnya rumah mereka.
“Hari Sabtu itu kami dah bersihkan rumah, dan kami ini kami kena tunggu air betul-betul surut baru kami akan turun bersihkan rumah.
“Sabtu dan Ahad kami tidur dekat rumah sahaja, tapi semalam kami tidur di luar sebab tidak selesa kerana air sudah tinggi,” katanya.
Bagaimanapun ada sesetengah kawasan di sekitar Bukit Changgang masih digenangi air banjir.
Menurut Abdul Ghafur Sudin, 49, keadaan banjir yang melanda kawasan rumahnya dilihat masih sama walaupun air semakin surut.
Jelas beliau, mungkin kerana kawasan rumahnya tinggi maka air surut itu tidak kelihatan.
“Pada pandangan saya air semakin surut tetapi kita tengok laporan meteorologi air akan turun lagi. Tapi kita bimbang air dari empangan Semenyih dilepaskan di Sungai Langat jadi kita akan dapat tempias.
“Saya masih boleh lalui jalan keluar dan saya ada satu lagi rumah di Bandar Mahkota jadi kita boleh menginap di sana,” katanya di hadapan rumah beliau.
Sementarai, Mohd Nor Iman Ikhmal Isman, 22, mengambil keputusan untuk tidur di dalam khemah di depan rumahnya bagi memastikan keselamatan rumah terjamin.
“Saya duduk sini jaga kawasan rumah sudah empat hari.
“Tidak ada tempat sebab PPS (Pusat Pemindahan Sementara) penuh.
“Ada juga mereka suruh pindah tapi tidak ada tempat,” jelas beliau lagi. – MalaysiaGazette