Home Nasional Hampir 200 penduduk Bukit Sagu 7 terkandas dipindahkan

Hampir 200 penduduk Bukit Sagu 7 terkandas dipindahkan

Sebahagian penduduk Felda Bukit Sagu 7 yang terjejas disebabkan banjir selamat dipindahkan petang tadi.

KUANTAN – Hampir 200 penduduk yang terkandas akibat banjir di Felda Bukit Sagu 7 di sini selamat dipindahkan dengan bantuan oleh tiga agensi pasukan penyelamat dalam operasi selama lima jam hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang, Ir. Wan Mohd Zaidi Wan Isa berkata, proses menyelamat dilakukan dengan kolaborasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Jabatan kastam Diraja Pahang dan Angkatan Petahanan Awam Pahang (APM) bermula pukul 2 petang tadi.

Tambahnya, mangsa yang terlibat merupakan pekerja ladang kelapa sawit terdiri daripada masyarakat tempatan dan sebahagiannya pekerja warga asing.

“Seramai 12 kru Balai Bomba Kuantan menggunakan dua bot  serta sebuah bot APM digerakkan bagi memindahkan mangsa secara berperingkat.

“Kesemua mangsa melibatkan 30 keluarga itu telah dibawa keluar dan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Sagu 1,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jelasnya, operasi menyelamat itu dilakukan bagi mengelak situasi kritikal memandangkan pihak penyelamat terpaksa berdepan dengan arus air deras dan menyukarkan bantuan makanan dihantar.

Misi menyelamat tamat kira-kira pukul 7 malam itu turut dipantau oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan kakitangan pejabat Parlimen Paya Besar. – MalaysiaGazette