Home Nasional Kediaman jadi kedai runcit, warga Rohingya tauke

Kediaman jadi kedai runcit, warga Rohingya tauke

Penduduk Taman Melati, Bukit Jambul dakwa etnik Rohingya jadikan kediaman teres sebagai kedai runcit.

GEORGE TOWN – Ubah suai kediaman teres jadi kedai runcit selain perniagaan dikuasai penuh etnik Rohingya.

Keadaan itu menyebabkan laluan penduduk sekitar Taman Melati, Bukit Jambul, di sini sentiasa sesak selain dipenuhi warga asing.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati puluhan warga asing membanjiri kawasan itu dengan lagak dan gaya hidup seolah-olah mereka sedang berada di negara asal.

Penduduk, Rizal Mat Idris, 38, berkata, kehadiran warga asing itu sejak tiga tahun lalu kian merimaskan selain mereka bimbangkan keselamatan diri dan keluarga.

Rizal.

Jelasnya, sejak kebelakangan ini, jumlah kehadiran warga asing mengunjungi premis itu kian bertambah, sekali gus menyebabkan penduduk tempatan terpaksa berdepan situasi kesesakan lalu lintas.

“Tindakan pemandu lori meletakkan kenderaannya di bahu jalan bagi kerja memunggah barangan juga menyebabkan laluan menjadi sempit.

“Kita bimbang berlaku kebakaran kerana rumah di sini rapat dan kita tak tahu sama ada mereka (peniaga) menggunakan pendawaian dan barang elektrik yang mengikut piawai yang ditetapkan atau tidak.

Lori ditempatkan di hadapan kedai menyukarkan laluan keluar masuk penduduk.

“Tidak cukup itu, pelbagai bahan mentah di jual sehingga menimbulkan bau busuk,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Rizal, rata-rata penduduk ragu dengan status perniagaan warga asing itu termasuk bagaimana mereka mendapat lesen bagi menjadikan kediaman sebagai kedai runcit.

“Pemilik rumah terima hasil lumayan tetapi penduduk tempatan yang menerima kesannya.

“Sehubungan itu, kita mohon pihak berkuasa melakukan operasi agar masalah ini tidak lagi membelenggu penduduk,” katanya yang menetap di situ sejak 30 tahun lalu.

Seorang lagi penduduk,  Mohd Syazwi Roslan, 32 berkata, bilangan warga asing itu makin ramai membuatkan mereka jadi besar kepala.

Mohd Syazwi.

“Selain itu, kedai itu sentiasa dibanjiri warga asing menyebabkan penduduk khususnya wanita tempatan juga bimbang hendak melalui jalan ini selepas pulang dari kerja.

“Saya harap pihak terbabit akan berusaha menyelesaikan perkara ini kerana majoriti penduduk sudah lama merungut mengenainya,” katanya. – MalaysiaGazette