Home Nasional Mangsa banjir dua hari duduk atas tangki tanpa makanan

Mangsa banjir dua hari duduk atas tangki tanpa makanan

Inilah tangki air yang menjadi tempat berteduh seramai 189 keluarga mangsa banjir di kawasan Ladang Bukit Sagu 7 selama dua hari.

KUANTAN – Seramai 189 keluarga yang menjadi mangsa banjir terpaksa mendapatkan perlindungan di atas tangki air di kawasan Ladang Bukit Sagu 7 di sini selama dua hari.

Selama dua hari mereka berteduh di situ tanpa sebarang bekalan makanan.

Namun hari ini semua penduduk termasuk warga asing itu kini menarik nafas lega apabila mendapat bantuan makanan dan sudah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati meskipun air di kawasan Bukit Sagu 7 semakin surut namun air masih deras dan masih banyak kediaman tenggelam.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, berusia 30 -an berkata, detik-detik cemas berlaku apabila limpahan air berlaku dalam tempoh kurang satu jam sahaja membuatkan penduduk panik.

“Tiada pilihan lain melainkan semua orang memanjat tangki dan berlindung di atas tangki besar yang terletak di atas bukit.

“Kami cuba meminta bantuan dan mengharapkan cuaca semakin baik namun terputus bekalan makanan serta jalan penghubung keluar,” katanya.

Sebahagian warga asing yang menjadi mangsa banjir di Felda Bukit Sagu 7 menunggu giliran untuk dipindahkan hari ini.

Menurut Ahmad, penduduk di kawasan itu yang rata-ratanya pekerja ladang bergantung kepada bekalan makanan yang sedia ada namun bekalan tidak mencukupi.

“Kami terputus bekalan makanan selama 48 jam dan hari ini syukur kami dapat bekalan makan dan dipindahkan ke PPS Bukit Sagu 1 oleh pasukan penyelamat.

“Sepanjang terputus bekalan makanan, kami berkongsi serba sedikit apa yang ada sambil berharap bantuan tiba secepat mungkin,” katanya.

Seramai 189 penduduk di sini didiami oleh 123 warga asing manakala selebihnya penduduk tempatan terjejas apabila hujan tidak berhenti selama dua hari bermula 16 Disember lalu.

Rata-rata mereka bersyukur kerana terselamat dan tiada  kehilangan nyawa berlaku namun mengakui banjir kali ini satu pengalaman buruk kepada mereka. – MalaysiaGazette