Home Utama Pemandu treler mengaku tidak bersalah memandu secara bahaya ragut 10 nyawa

Pemandu treler mengaku tidak bersalah memandu secara bahaya ragut 10 nyawa

Pemandu treleryang terbabit kemalangan hingga menyebabkan 10 kematian individu di Lebuh raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 DISEMBER 2021

SHAH ALAM – Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah atas dakwaan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut 10 nyawa pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohd Rafi Jaafar, 37, membuat pengakuan berkenaan di Mahkamah Majistret, di sini, selepas mendengar pendakwaan dibacakan secara berasingan kepadanya.

Berdasarkan pertuduhan, pemandu treler itu pada lebih kurang 12.02 tengah malam di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), didakwa memandu secara berbahaya.

Mohd Rafi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi setiap pertuduhan yang mana beliau boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun jika didapati bersalah.

Pada masa sama tertuduh juga boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Dalam kejadian tersebut sembilan beranak merupakan antara 10 yang yang maut.

Mangsa yang telah meninggal dunia adalah Norul Naziah Buyong, 37, ibu kepada lapan orang anak berusia antara 10 bulan hingga 16 tahun yang turut meninggal dunia.

Ketika kejadian, Allahyarhamah Norul Naziah dilaporkan menaiki Proton Wira dipandu suaminya Abdul Razak Majit, 50.

Suaminya pula mengalami cedera ringan.

Lapan anak Abdul Razak yang maut dalam kemalangan itu adalah Mohd Raid Fathu 10 bulan, Puteri Nur Ain Shalwana (3 tahun), Mohd Hidayat Hakimie (7), Mohd rokaizat Rezky (9), Mohd Aizat Syazwan, (10), Puteri Hidayah (13), Razatul Aliah (16) dan Mohd Razarul Amin (17).

Seorang lagi mangsa yang maut merupakan mekanik, Muhamad Rahimi Rolex, 27.

Ketika kejadian, Mumahad Rahimim mekanik memandu kereta jenis Proton Wira, datang untuk membantu menghidupkan bateri kereta dipandu Abdul Razak.

Dalam pada itu, Majistret Nur Faizah Abdul Sani menetapkan jaminan sebanyak RM1,000 dikenakan ke atas tertuduh bagi setiap pertuduhan selain mengarahkan lesen memandunya dirampas dan digantung serta merta sehingga kes perbicaraan selesai.

Selain itu, pemandu treler tersebut turut dilarang mengganggu saksi-saksi kes dan perlu menghadirkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Terdahulu, Mohd Rafi hadir ke mahkamah pada hari ini tanpa diwakili peguam.

Beliau memohon agar jumlah ikat jaminan dikurangkan kerana  menyara tiga anak dan isterinya yang tidak bekerja.

Salah seorang anaknya pula dirawat di sebuah hospital di Melaka berikutan menghidapi penyakit sirosis.

Selepas prosiding selesai, isteri pemandu treler berkenaan kelihatan menangis di dalam mahkamah.

Pihak pendakwaan bagi kes berkenaan diketuai oleh Mohammad Al-Saifi Hashim bersama Mohd Asnawi Abu Hanipah dan Saidah Fasihah Che Yusoff. – MalaysiaGazette