KUALA LUMPUR – Insiden kebakaran lapan unit kediaman di tingkat empat Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor, Cheras malam kelmarin mengejutkan para penghuni di situ terutamanya yang kehilangan tempat berlindung sekelip mata.
Namun rata-rata bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri, dan tiada yang terkorban mahu pun mengalami kecederaan dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu.
Perasaan sedih dan kecewa sedikit terubat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergegas ke tempat kejadian bertemu mangsa dan segera mengumumkan bantuan kewangan serta tempat tinggal baharu atas semangat Keluarga Malaysia
Tanpa membezakan kaum dan agama, perdana menteri tampil ke lokasi kebakaran di sebalik jadualnya yang amat padat terutamanya ketika beberapa negeri dilanda banjir besar.
Kehadiran Perdana Menteri juga dilihat membantu mempercepatkan bantuan bagi meringankan beban mereka.
Hari ini krew MalaysiaGazette yang turun membuat tinjauan mendapati kebanyakan mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Komuniti Flat Sri Sabah yang terletak bersebelahan Sri Johor.
Salah seorang mangsa, Roseline Mary yang bekerja sebagai jururawat menangis menceritakan nasib mereka sekeluarga yang sepatutnya menyambut Krismas minggu hadapan.
Kata Roseline, bukan sahaja harta bendanya musnah tetapi barang-barang berharga termasuk wang tunai dan juga emas lama yang ditinggalkan oleh mendiang ibunya juga musnah dijilat api marak.
Artikel berkaitan:
Bantuan RM1,000, kediaman baharu untuk mangsa kebakaran Flat Sri Johor – PM
“Saya dan keluarga baharu sahaja membeli-belah untuk sambut Krismas setelah hampir dua tahun tidak dapat sambut kerana pandemik Covid-19.
“Kita baharu sahaja beli katil baharu, sofa, baju dan peralatan dapur juga makanan bagi tujuan sambutan kelak. Semuanya hangus, hati saya cukup luluh dan kecewa.
“Barang kemas ibu saya dan juga wang tunai untuk keperluan sudah habis. Saya sudah tidak tahu hendak buat apa lagi. Anak-anak saya masih kecil, buku teks dan komputer untuk pembelajaran atas talian juga hangus.
“Hendak minta bantuan tetapi sudah tidak tahu apa yang hendak diminta lagi kerana kerugian dan kemusnahan yang kami sangat besar,” katanya ketika ditemui.
Bagi Abdul Rahman Abdullah yang juga merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) pula, beliau bersyukur dapat menyelamatkan diri bersama-sama bapanya yang juga warga emas serta anak-anak.
“Api marak cepat sangat. Dengan keadaan saya macam ini, keselamatan penting. Ini adalah kali pertama kejadian seumpama ini. Saya sudah menetap di flat ini sejak 40 tahun, sejak umur saya tujuh tahun lagi.
“Tapi sedih kerana kami hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang sahaja, yang lain sudah di api.
“Ayah saya pesakit strok, masa kejadian terpaksa pecah gril rumah keluarkan ayah saya. Ini kejadian hitam,” ujarnya.
Bagi Alamelu Sinnapan pula, sehingga sekarang dia masih tidak percaya dengan apa yang berlaku.
“Saya hanya fikir untuk selamatkan diri dan anak-anak kucing saya. Anak-anak saya tidak ada di sini. Suami sakit. Sekarang separuh dari rumah saya sudah terbakar, memang tidak tahu apa yang boleh dilakukan,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Nur Fatihah Zulkafli memohon bantuan dari semua pihak bagi meringankan beban yang perlu ditanggung oleh keluarganya kelak.
“Memang ada bantuan tapi kerugian yang kami alami sangat teruk. Semuanya sudah terbakar, tidak ada apa yang tinggal untuk kami. Tolonglah kami,” ujarnya.
Kelmarin Ismail Sabri mengumumkan setiap ketua isi rumah mangsa kebakaran di Flat Sri Johor di Cheras akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.
“Seperti yang saya umumkan di Selangor pagi tadi (semalam) mengenai bantuan untuk mangsa bencana, kebakaran ini juga merupakan bencana, jadi kita akan berikan RM1,000 kepada mereka yang terlibat yang menjadi mangsa kebakaran selain menyedian kediaman baharu buat mangsa,” katanya. -MalaysiaGazette