SHAH ALAM – Seorang ibu kepada tiga anak akhirnya menarik nafas lega apabila dua anak lelakinya yang terperangkap akibat banjir selama tiga hari akhirnya diselamatkan di Taman Sri Muda di sini semalam.
Malah beliau bersyukur kerana ada pihak luar yang membantunya dalam keadaan kedua-dua anaknya menunggu giliran untuk di selamatkan kerana ribuan lagi mangsa banjir terperangkap.
Antaranya rangkaian klinik SP Care Group yang telah memulakan misi bantuan itu sejak Ahad lepas di Taman Seri Muda.
Menurut S. Maheswari, beliau mengalami detik cemas selama tiga hari selepas kedua-dua anak lelakinya yang pergi melawat nenek mereka di Taman Seri Muda terperangkap dalam rumah tersebut.
Malah katanya, beliau menangis apabila diberitahu semua agensi kerajaan yang pihaknya perlu menunggu giliran kerana keutamaan diberikan kepada yang tinggal di rumah satu dan dua tingkat terlebih dahulu.
“Rumah itu tiga tingkat jadi keutamaan tidak diberikan kepada permohonan saya. Saya juga cuba mencari alternatif lain tetapi tidak berjaya. Saya menjadi lebih risau apabila bekalan elektrik terputus malam itu.
“Saya duduk di Kuala Lumpur, seorang lagi anak perempuan di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia). Dua orang anak lelaki saya pula melawat nenek di situ, tidak sangka pula musibah seperti ini. Nasib baik SP Care mendengar rayuan saya dan sedia mencari dan menyelamat.
“Memang sukar untuk mencari alamat rumah, saya dapat tahu pasukan SP Care bukan sahaja terpaksa harung air sehingga paras dada malah sesat mencari alamat rumah, hari juga semakin gelap. Hampir dua jam mereka cari lokasi.
“Jika orang lain mesti sudah putus asa dan pastinya lagi lambat anak-anak saya terperangkap, terima kasih kerana tanpa mengira siapa terus tampil membantu, jasa SP Care ini tidak akan kami sekeluarga lupa sampai bila-bila,” katanya beremosi.
Dalam pada itu, bercakap kepada MalaysiaGazette, pengasas SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, pasukannya terdiri dari golongan barisan hadapan seperti doktor, jururawat dan lain rasa terpanggil dengan penderitaan mangsa banjir.
“Sejak mula banjir Sabtu lepas, ramai juga kenalan saya serta warga SP Care lain menerima panggilan distress malah kami sendiri tidak dapat lelap mata pada malam Sabtu di mana bukan sahaja hujan tidak berhenti malah berita banjir sana-sini, tanah runtuh, kemalangan dan sebagainya.
“Memang sangat menakutkan, jadi saya berbincang dengan pasukan saya untuk memulakan misi kemanusian ini, kita cuba sediakan makanan dan keperluan asas, ubat-ubatan dan juga misi mencari dan menyelamat pada malam itu juga.
“Kami juga dapat maklumat Taman Sri Muda antara yang paling teruk terjejas, kami terus bergegas dan lakukan apa yang boleh, kami juga telah menggunakan bot dan kayak untuk menghantar makanan dan juga membantu penduduk keluar dari rumah mereka.
Dr Sathia Prakash juga memberitahu sejurus selepas dengan misi bantuan di Taman Sri Muda, hari ini pasukannya akan bersama-sama membantu penduduk di Hulu Langat yang sudah mula memulakan proses pembersihan setelah banjir surut.- MalaysiaGazette