Home Nasional Walaupun alami kerosakan loji, IWK tetap bantu mangsa banjir

Walaupun alami kerosakan loji, IWK tetap bantu mangsa banjir

Misi IWK Cares diteruskan lagi dimulakan dengan bantuan berbentuk makanan, minuman dan pelitup muka kepada 1,000 mangsa banjir di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir SK Alam Megah (3), Seksyen 28 Shah Alam- Gambar FB IWK.

KUALA LUMPUR – Banjir besar baru-baru ini  mengakibatkan kerosakan kepada lebih kurang 254 loji rawatan air kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dengan jumlah kerugian sekitar RM7 juta.

Biar pun begitu, syarikat perkhidmatan pembetungan nasional itu tetap tidak melupakan tanggungjawab sosial dengan turut sama menghulurkan bantuan kepada beberapa komuniti yang terjejas akiba banjir yang berlaku baru-baru ini.

Jabatan Komunikasi Korporat IWK dalam satu kenyataan berkata, beberapa bentuk bantuan diberikan termasuk perkhidmatan mengosongkan tangki septik secara percuma, penyediaan bekalan keperluan asas dan makanan, serta membantu mencuci rumah mangsa termasuk kakitangan IWK yang terlibat.

“IWK juga memperuntukkan bantuan bernilai RM50,000 untuk diagihkan segera kepada keluarga yang terlibat di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Kami juga menjalin kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan menyediakan sebanyak 32 buah tandas bergerak kepada lapan buah PPS,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, IWK turut memaklumkan kerosakan loji rawatan air kumbahan pihaknya berada di sekitar Selangor dan Pahang.

“Pihak syarikat hanya dapat memeriksa kadar kerosakan yang tepat sebaik sahaja lokasinya boleh dimasuki, serta disegerakan proses pembaikkan.

“Proses membaikpulih kerosakan tersebut telah bermula di beberapa loji, dan dijangka akan kembali beroperasi dalam waktu terdekat sebaik sahaja peralatan diganti dan bekalan tenaga elektrik pulih,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada masa sama, IWK turut mengulas mengenai laporan media berkenaan berlaku kejadian tanah mendap di Selayang dan Petaling Jaya yang mengaitkan paip pembetungan IWK yang telah patah.

“Kejadian tersebut berlaku berhampiran Pangsapuri Teratai, Bandar Baru Selayang, Gombak dan kami telah mengenal pasti punca sebenar iaitu disebabkan paip pembetungan persendirian telah patah akibat kegagalan cerun.

“Paip pembetungan awam yang dikendalikan IWK bagaimanapun tidak terbabit dan berada dalam keadaan baik.

“Manakala bagi kejadian di Petaling Jaya pula adalah disebabkan paip pembetungan IWK yang telah patah dan kontraktor menutup kawasan mendapan serta membaikinya segera,” jelasnya.

Kini, kerja-kerja pembaikan dianggarkan siap dalam tempoh enam hari dan orang ramai diminta berhati-hati menggunakan jalan tersebut dan IWK sentiasa mengutamakan keselamatan pengguna di sana.

Sementara itu, ekoran banjir, kaunter pembayaran, perkhidmatan pelanggan serta pejabat agensi perakuan untuk Selangor di Loji Rawatan Kumbahan Wilayah (SAM272), Off Persiaran Perusahaan, Seksyen 23, Shah Alam, terpaksa ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak akibat bencana banjir ini.

Pelanggan dinasihat menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk urusan pembayaran, aduan dan permohonan pembangunan. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian 03-2083 2828 atau emel kepada [email protected]. -MalaysiaGazette