DENGKIL -Banjir besar yang melanda Dengkil pada awal pagi Sabtu lalu hingga memaksa masyarakat Orang Asli Bukit Tampoi Seberang di sini membina penempatan sendiri di atas bukit untuk mencari tempat selamat.
Banjir yang berlaku pada jam 3 pagi itu telah menenggelamkan kira-kira 30 kediaman rumah mereka.
Menurut Zahaniah Isang, mereka tidak mempunyai pilihan lain, selain naik ke bukit berhampiran kerana arus sangat deras.
“Air naik hari jumaat jam 3 pagi. Air sangat laju sampai nak kemas barang keperluan pun tak sempat. Habis peti sejuk, almari ditenggelami air.
“Masa air naik kami cepat-cepat lari dan naik bukit nak selamatkan diri. Sempat capai barang-barang perlu sahaja,” katanya yang sudah enam hari berada diatas bukit tersebut.
Menurut bapanya, Isang, banjir kali ini disifatkan paling teruk pernah berlaku sepanjang beliau tinggal di Bukit Tampoi Seberang.
Sebelum ini banjir yang berlaku hanya setinggi paras lutut sahaja.
“Dulu kami masih boleh tinggal dalam rumah dan banjir pun sekejap sahaja. Lain pula dengan banjir kali ini, makin lama makin naik paras air.
“Masa banjir, kami bawa naik semua kereta atas bukit ini. Kalau air masuk lagi habislah. Arus memang deras sampai tempat tinggal saya tenggelam.
“Masa itu riuh penduduk sini cakap air banjir makin naik, cepat jugalah air naik. Kita bawa kanak-kanak pindah dulu sebelum bawa semua orang,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Muni Jampo berkata, banjir kali ini melibatkan lebih ramai keluarga berbanding sebelum ini.
“Sebelum ini cuma dalam 15 keluarga sahaja tapi kali ini dalam 30 keluarga.
“Barang-barang lain tak sempat nak selamatkan. Kami naik bukit ini selepas air mula naik. Rumah nampak bumbung sahaja,” katanya.
Jelas Muni lagi, ketika di atas bukit itu mereka masih mampu beralas roti yang sempat dibeli di kedai berhampiran.
“Hari keempat baru kami dapat bantuan makanan,” katanya lagi.
Kesemua mereka hari ini mampu mengukirkan senyuman kembali apabila diziarahi Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau Dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian.
Melihat kedaifan yang dilalui 30 keluarga Orang Asli ini, Loy Sian berjanji akan memberikan bantuan khemah dan makanan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
“Kerajaan negeri akan keluarkan peruntukan beli khemah dan makanan keperluan dan dapur, kita akan hantar hari ini juga supaya mereka dapat teruskan hidup.
“Kita akan kerjasama dengan JAKOA untuk memastikan keperluan mereka. Bila kita tahu kuantiti mereka, baru boleh kita hantar barang keperluan,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas mengadakan ziarah di Kampung ini. – MalaysiaGazette