Home Nasional AirAsia gantung tempahan VTL baharu dari Kuala Lumpur, Bangkok ke Singapura

AirAsia gantung tempahan VTL baharu dari Kuala Lumpur, Bangkok ke Singapura

Gambar Hiasan. foto MALAYSIA GAZETTE

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Group Bhd, akan menggantung tempahan penerbangan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) baharu antara 23 Disember dan 20 Januari 2022 dari Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Don Mueang Bangkok ke Singapura.

Katanya, penggantungan itu dibuat berikutan penggantungan sementara dan serta-merta tempahan penerbangan baharu untuk penerbangan VTL yang ditetapkan ke Singapura seperti yang diumumkan oleh kerajaan Singapura.

“AirAsia Malaysia akan terus beroperasi tujuh kali seminggu untuk penerbangan VTL dari Kuala Lumpur ke Singapura.

“Penumpang dengan tempahan penerbangan VTL sedia ada (kod penerbangan AK) dan dengan Pas Perjalanan Vaksinasi (VTP) yang diluluskan boleh memasuki Singapura tanpa kuarantin dan hanya perlu menjalani ujian COVID-19 semasa ketibaan dan ujian pantas antigen selepas ketibaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, AirAsia Thailand (kod penerbangan FD) akan membatalkan penerbangan VTL dari Don Mueang Bangkok ke Singapura sehingga notis selanjutnya dan penumpang yang terjejas akan dimaklumkan melalui e-mel dan SMS dengan arahan mengenai cara untuk memilih satu daripada pilihan pemulihan perkhidmatan yang boleh didapati untuk mereka.

“AirAsia memantau dengan teliti situasi kesihatan global dan mempunyai hak untuk mengumumkan dasar selanjutnya mengikut perkembangan terkini.

“Kami menggalakkan penumpang kami untuk merujuk kepada halaman keperluan perjalanan di laman web kami sebelum berlepas,” katanya. – Bernama