Home Dunia Profesor Harvard berbohong mengenai hubungan dengan China

Profesor Harvard berbohong mengenai hubungan dengan China

Charles Lieber. foto Reuters

BOSTON – Seorang profesor Universiti Harvard disabitkan bersalah kerana berbohong mengenai hubungannya dengan program rekrut yang dikendalikan China dalam kes yang diawas rapi berpunca daripada tindakan keras terhadap pengaruh China dalam penyelidikan Amerika Syarikat (AS).

Juri Persekutuan Boston mendapati Charles Lieber, seorang ahli sains nano terkenal dan bekas pengerusi jabatan kimia Harvard, bersalah atas semua enam pertuduhan yang dihadapinya termasuk membuat kenyataan palsu kepada pihak berkuasa dan memfailkan penyata cukai palsu.

Pendakwa raya berkata, Lieber ketika berusaha untuk mendapat Hadiah Nobel pada 2011, bersetuju untuk menjadi “saintis strategik” di Universiti Teknologi Wuhan di China dan melaluinya mengambil bahagian dalam rekrut China melalui Thousand Talents Program.

Menurut pendakwa raya, China menggunakan program itu untuk merekrut penyelidik asing bagi berkongsi pengetahuan mereka dengan negara itu.

Penyertaan bukanlah satu jenayah, tetapi pihak pendakwa berpendapat Lieber, 62, secara haram berbohong kepada pihak berkuasa mengenai penglibatannya.

Peguam bela Marc Mukasey telah membalas hujah dengan berkata, pihak pendakwa dengan telah merosakkan bukti untuk membuktikan kesalahan Lieber, kekurangan dokumen penting untuk menyokong dakwaan tersebut dan terlalu bergantung pada temu bual Biro Penyiasatan Persekutuan yang keliru dengan saintis itu selepas penahanannya.

Lieber didakwa pada Januari tahun lalu sebagai sebahagian daripada Inisiatif China Jabatan Kehakiman AS, yang dilancarkan semasa pentadbiran bekas Presiden Donald Trump untuk menentang pengintipan ekonomi China dan kecurian penyelidikan.

Pentadbiran Presiden Joe Biden telah meneruskan inisiatif itu, walaupun Jabatan Kehakiman berkata, ia sedang mengkaji semula pendekatannya.

Pengkritik berpendapat inisiatif itu membahayakan penyelidikan akademik, memprofilkan perkauman penyelidik Cina dan menimbulkan rasa ketakutan kepada beberapa saintis.

Seorang profesor Tennessee dibebaskan oleh hakim tahun ini berikutan salah laku dan pendakwa raya menggugurkan tuduhan terhadap enam penyelidik lain.

Pendakwa raya berkata, Lieber berbohong mengenai peranannya dalam program pengambilan sebagai tindak balas kepada pertanyaan daripada Jabatan Pertahanan AS dan Institut Kesihatan Nasional AS, yang telah menganugerahkannya AS$15 juta (S$20.5 juta) dalam geran penyelidikan.

Semasa temu bual dengan ejen Biro Penyiasat Pesekutuan selepas penahanannya, Lieber berkata, dia “muda dan bodoh” apabila dikaitkan dengan universiti Wuhan dan percaya kerjasamanya akan meningkatkan pengiktirafan terhadap dirinya.

Melalui sekolah itu, dia dibayar sehingga AS$50,000 sebulan ditambah AS$158,000 bagi perbelanjaan sara hidup tahunan dan menerima gajinya separuh tunai dan separuh dalam deposit ke akaun bank China, kata pendakwa raya.

Tetapi mereka kata, Lieber gagal melaporkan gajinya pada penyata cukai pendapatannya pada 2013 dan 2014 dan selama dua tahun gagal melaporkan akaun bank. – Reuters

+ posts