KUALA LUMPUR – Singapura membekukan penjualan tiket penerbangan dan bas Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) ke Malaysia mulai hari ini sehingga 20 Januari 2022.
Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (MTI) berkata, langkah terbaharu itu susulan peningkatan kes Omicron di seluruh dunia.
Bagaimanapun MTI berkata, semua pengembara yang sudah memegang tiket bas VTL boleh meneruskan perjalanan di bawah VTL (darat).
Mereka yang bukan warganegara Singapura atau Penduduk Tetap Singapura juga boleh terus memohon Pas Perjalanan Vaksin jika mereka belum berbuat demikian melalui https://go.gov.sg/vtl-portal.
”Kami juga akan mengurangkan sementara kapasiti dan jualan tiket, untuk perjalanan melalui VTL (darat) mulai 21 Januari 2022 dan seterusnya sebanyak separuh (bersamaan dengan 24 bas setiap hari sehala).
“MTI akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menyesuaikan kapasiti VTL (darat), dengan mengambil kira keadaan kesihatan awam di kedua-dua negara dan di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pelancong diingatkan untuk mematuhi protokol ujian yang dipertingkatkan dengan ketat.
Sekiranya individu sudah membeli tiket penerbangan atau bas VTL dan memenuhi semua keperluan VTL lain, mereka boleh meneruskan perjalanan di bawah skim perjalanan bebas kuarantin.
Katanya, langkah ini untuk mengurangkan sementara kuota VTL dan jualan tiket perjalanan selepas 20 Januari 2022 selain memantau perkembangan dan mengemas kini dasar berkenaan apabila keadaan berubah.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai VTL (darat) antara Singapura dan Malaysia, boleh layari https://safetravel.ica.gov.sg/vtl-land/overview. – MalaysiaGazette