KLUANG – Sepasang suami isteri warga tempatan ditahan polis kira-kira jam 12.30 kelmarin di Bukit Gambir, Muar kerana dipercayai terlibat melindungi Abdul Hamim Ab Hamid atau dikenali sebagai Long Tiger selepas suspek berkenaan berjaya meloloskan diri daripada tahanan mahkamah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-dua mereka telah direman selama empat hari bermula 21 Disember untuk membantu siasatan.
“Jadi saya ingin menyeru kepada orang awam untuk jangan sesekali melindungi suspek ini kerana dia sedang diburu, jika kita dapat maklumat ada bukti orang awam yang buat demikian, polis akan ambil tindakan.
“Kita masih lagi mengesan Long Tiger ini yang mana kita percaya dia masih berada dalam kawasan Bukit Gambir, Muar dan sekitarnya,” katanya selepas Operasi Bersepadu Bas Ekspres, Bas Persiaran dan Lori di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) arah Utara Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), di sini,malam tadi.
Pasangan suami isteri itu masing-masingnya berusia 41 dan 43 tahun ini disyaki mengetahui serta bersubahat melindungi suspek ini.
Dalam perkembangan sama, Ayob berkata, dua anggota polis digantung tugas bagi membantu siasatan selepas lelaki Rohingya itu berjaya meloloskan diri dari tahanan lokap melalui pintu utama di Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu.
Long Tiger, 32, menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.
“Kedua-dua anggota itu kita siasat, adai subahat ke, rasuah, kita siasat dari semua aspek bukan kecuaian sahaja,” tambahnya.
Pada masa ini, kedua-dua anggota polis itu sudah digantung kerja atas kesalahan kecuaian yang menyebabkan tahanan melarikan diri.
“Yang kita siasat ada empat orang tetapi yang dua ini terlibat secara langsung dalam aspek kecuaian.
“Jadi mereka ini telah ditahan kerja. Gantung kerja biasanya dalam kes-kes anggota polis ini bila tuduh dimahkamah mereka akan ditahan kerja.
“Apabila disabit kesalahan, mereka akan digantung kerja sehingga habis proses rayuan dan sebagainya baru kita ambil tindakan selanjutnya termasuk buang kerja,” katanya. -MalaysiaGazette