KUALA LUMPUR – UOB Malaysia menyediakan bantuan kepada pelanggan individu, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat yang terjejas akibat banjir yang melanda Lembah Klang baru-baru ini serta negeri lain di seluruh negara.
Bantuan UOB Malaysia ini termasuk pelbagai langkah seperti penangguhan pembiayaan dan pembayaran pinjaman, jumlah ansuran pembayaran balik bulanan yang dikurangkan dan lanjutan tempoh pembayaran balik.
Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, bank itu juga akan mengetepikan fi dan caj tertentu untuk perkhidmatan terpilih, seperti
menggantikan kad debit dan kredit atau buku cek yang hilang atau rosak semasa banjir.
Bank juga akan mengetepikan caj pembayaran lewat kad kredit untuk pelanggan yang terjejas.
”Bank telah menyediakan proses tuntutan di bawah elaun kesulitan banjirnya ke atas produk bankasurans terpilih yang ditaja jamin oleh rakan kongsi insuransnya. Ini akan membolehkan rakan kongsi insurans memproses tuntutan dengan lebih cepat,” katanya.
Pelanggan yang memilih program bantuan UOB Malaysia boleh melayari laman web Bank di uob.com.my untuk menghantar permohonan mereka secara dalam talian. – MalaysiaGazette