Home Nasional FRU turun padang bersihkan rumah mangsa banjir Hulu Langat

FRU turun padang bersihkan rumah mangsa banjir Hulu Langat

Timbalan Komander FRU, ACP Rosman Kasman memberi sumbangan kotak makanan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar kawasan bencana Kampung Paya Lebar Sungai Lui, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang sinonim dengan gerakan anti rusuhan namun atas nama kemanusiaan, mereka juga turun padang membantu mangsa banjir di Hulu Langat.

Menurut Timbalan Komander FRU, Assisten Komisioner Rosman Kasman, inisiatif itu diambil selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menggerakkan aset-aset pihak berkuasa itu untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

“Sebelum ini kita terkenal dengan anti rusuhan tapi tidak pada hari ini. Ketika bencana seperti ini, FRU gerakkan sekali aset dan tenaga untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

“Kita dapati kawasan Hulu Langat ini menghadapi kejadian yang amat teruk sekali seperti tsunami.

“Keadaan masjid dan rumah-rumah dipenuhi lumpur yang tebal sekali dan kalau kita tidak membantu mangsa-mangsa ini memang akan lambat untuk bersihkan rumah mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Timbalan Komander FRU, ACP Rosman Kasman memberi sumbangan kotak makanan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar kawasan bencana Kampung Paya Lebar Sungai Lui, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 DISEMBER 2021.

Mengambil pendekatan ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada’, Rosman berkata, FRU mengarahkan 11 unitnya untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Ia bermula dengan tujuh unit FRU Seremban yang turun di Kampung Ismail Jiboi dan empat unit ke Kampung Asahan dan sekitar Bestari Jaya Selangor pada Isnin lalu.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah membersihkan lumpur yang memasuki rumah mangsa-mangsa banjir dengan menggunakan meriam air milik FRU.

“Di pihak FRU, kita mempunyai tenaga yang begitu ramai dan aset water cannon yang dilengkapi dengan kuasa tinggi.

“Jadi memang sesuai untuk kita mengeluarkan lumpur yang melekat di rumah-rumah dan fasiliti lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette