Home Seni Hidup Kegigihan jadikan Suthan jadi Pelajar Terbaik MPAT

Kegigihan jadikan Suthan jadi Pelajar Terbaik MPAT

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyampaikan Anugerah Peserta Kursus Terbaik Keseluruhan kepada Kor Jurutera Lektrik dan Jentera Diraja (KJLJD), Leftenan Kolonel Ir. Suthan Venkatachalam pada majlis penutup kursus dan penyampaian Diploma Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Siri 41/2021 di Maktab Turus Angkatan Tentera, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Penularan Covid-19 memaksa sistem pendidikan di negara ini mengikuti norma baharu pembelajaran iaitu menggunakan dalam talian.

Ia menyebabkan kesukaran namun bukan penghalang kepada Leftenan Kolonel Ir. Suthan Venkatachalam menghabiskan Diploma Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT)  seterusnya meniadi peserta kursus terbaik keseluruhan maktab hari ini.

Beliau yang berusia 44 tahun itu mengakui mengambil masa sebulan untuk menguasai sistem pembelajaran dalam talian.

“Saya mengikuti kurus selama setahun iaitu 52 minggu tetapi disebabkan Covid-19 semua kelas kursus dikendalikan dalam talian yang mana sesuatu suasana yang baharu untuk saya.

“Namun, untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu itu saya menyediakan sistem teknologi maklumat yang bagus dan mahir dengannya serta berjaya tangkap kaedahnya dalam masa singkat untuk menamatkan pengajian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Suthan, walaupun sudah memiliki empat sijil termasuk peringkat sarjana namun beliau masih belum puas dan terus mengejar kejayaan akademik demi mencambah ilmu dan kenaikan pangkat perkhidmatan tentera.

Suthan juga mengakui kerap mengalami keletihan dan lesu kerana terpaksa menghadap komputer dari awal pagi smpai malam setiap hari.

Pun begitu jelasnya, tiada sebarang rahsia khusus untuk kejayaan beliau kerana sikap sentiasa menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan pensyarah tepat pada masanya turut menjadi rahsia kejayaannya.’

“Saya sebenarnya tiada apa-apa pun rahsia istimewa cuma mungkin sikap disiplin suka tidak tangguh kerja apabila diberikan mana-mana tenaga pengajar,” katanya.

Kor Jurutera Lektrik dan Jentera Diraja (KJLJD), Leftenan Kolonel Ir. Suthan Venkatachalam bergambar bersama sijil dan Anugerah Peserta Kursus Terbaik Keseluruhan selepas majlis penutup kursus dan penyampaian Diploma Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Siri 41/2021 di Maktab Turus Angkatan Tentera, Putrajaya.

Sementara itu, Kertas Kerja Terbaik diraih Leftenan Kolonel Norhisyam Hassan dari Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Anugerah Akademik Terbaik oleh Leftenan Kanan Fan Mun Poh dari Tentera Republik Singapura.

Program itu berlangsung di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di sini dan turut dihadiri Komandan MPAT, Laksamana Pertama Mohd. Fadzil Kamal Mohd. Mohaldin.

Suthan yang juga anak kelahiran Kuala Lumpur itu bagaimanapun mengakui kejayaannya tidak dijangka itu juga berkat pengorbanan isteri dan tiga anaknya yang sentiasa menyokongnya.

“Saya terkejut dan memang tidak menjangkakan saya dipilih sebagai peserta terbaik keseluruhan MPAT,” ujarnya lagi.

Suthan sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Komandan Workshop Divisyen 71 Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja, mula berkhidmat dalam Tentera Darat Malaysia sejak 1997.

Beliau kemudian mendirikan rumahtangga dengan guru sekolah rendah di Bandar Baru Bangi, Selangor, Amutha Anathuri pada 2005 dan mereka dikurniakan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Ditanya mengenai prospek masa depan mengikuti kursus di MPAT, beliau menyeru pegawai muda tentera tidak melepaskan peluang keemasan diberi apatah lagi ia dibuat sepenuh masa.

“Cabaran paling besar mungkin letih sebab terlalu lama depan komputer dari pagi sampai lewat petang berbanding kelas bersemuka, tetapi peluang kenaikan pangkat amat luas,” katanya.

Justeru, beliau yang pernah meraih empat kali anugerah pelajar terbaik dalam beberapa siri kursus sebelum ini serta memiliki tiga ijazah sarjana itu menyatakan kesediaannya untuk menyambung pengajian untuk tahap lebih tinggi.

Suthan bersedia untuk menyambung pengajian ke peringkat Falsafah Kedoktoran (PhD) jika berpeluang selepas ini.

“Ya, saya masih ada keinginan untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi lagi dan jika ada peluang pasti akan melanjutkan pengajian ke peringkat PhD,” tegasnya.

MPAT ditubuhkan pada 1981 dan sehingga kini melahirkan seramai 1,465 graduan daripada pelbagai agensi termasuk 41 pegawai tadbir dan diplomatik serta 90 peserta dari luar negara.

Kampus asalnya terletak di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Puspahanas awal tahun lalu yang turut menempatkan Maktab Ketahanan Nasional dan Maktab Turus Angkatan Tentera.-MalaysiaGazette