Home Nasional Pemandu lori tak mengaku rogol anak kandung

Pemandu lori tak mengaku rogol anak kandung

Pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh Melaka hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya berusia 22 tahun pada Mei lalu.

AYER KEROH – Pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya berusia 22 tahun pada Mei lalu.

Tertuduh berusia 44 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Krubong Permai, kira-kira jam 2 pagi pertengahan Mei lalu.

Difahamkan mangsa yang juga anak sulung itu menjadi pemuas nafsu bapa tiga anak sejak berusia 10 tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan dengan anak kandungnya yang tidak dibenarkan di bawah undang-undang (atau hukum agama atau adat atau kebiasaan) yang terpakai kepadanya untuk berkahwin dengan mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahida Mohamad tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan serius dilakukan tertuduh membabitkan anak kandungnya sendiri.

Tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah membenarkan jaminan bagi membolehkannya menguruskan lantikan peguam.

Maziah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dan menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- MalaysiaGazette