Home Ekonomi PNB umum dividen ASB sebanyak 5.00 sen seunit

PNB umum dividen ASB sebanyak 5.00 sen seunit

Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan kadar pengagihan pendapatan untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.00 sen seunit bagi tahun kewangan 31 Disember 2021.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan kadar pengagihan pendapatan untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.00 sen seunit bagi tahun kewangan 31 Disember 2021.

Pengerusi kumpulannya, Tun Arifin Zakaria berkata, pengagihan pendapatan itu merangkumi 4.25 sen dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.

Beliau berkata, kadar agihan tersebut adalah secara keseluruhannya menyamainya kadar tahun lepas.

“Pengagihan pendapatan itu adalah bagi tempoh 2021 membabitkan pembayaran kepada pemegang unit berjumlah RM8.9 bilion kepada 10.4 juta pemegang unit,” katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan ASB secara virtual sebentar tadi.

Turut serta pada pengumuman itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Mengulas lanjut Ariffin berkata, pengagihan pada tahun ini masih kompetetif hasil usaha pasukan pelaburan PNB.

Ujarnya, kadar pengagihan pendapatan sebanyak 0.50 sen seunit itu adalah 315 mata asas lebih tinggi berbanding deposit tetap 12 bulan dengan kadar semasa 1.85 peratus.

Katanya lagi, menerusi jumlah pengagihan pendapatan itu PNB telah mengagihkan sebanyak RM168.5 bilion pendapatan kumulatif dan bonus ASB sepanjang 30 tahun ASB menjadi pilihan instrumen utama orang ramai.

“Alhamdulillah, PNB masih berdaya tahan untuk terus memenuhi mandat yang diberi walaupun dalam suasana yang tidak menentu ini.

“Kami berbesar hati dapat bersama anda dalam memenuhi tempoh yang mencabar sejak pandemik bermula pada tahun lalu.

“Kami telah permudahkan anda mengakses wang pelaburan ASB anda scara online tahun lalu untuk menampung kos perbelanjaan berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Insyaallah, PNB akan melalukan yang terbaik untuk mengharungi segala cabaran yang mendatang. Kami akan meneruskan kejayaan yang telah dicapai dalam usaha kepelbagaian portfolio pelaburan.

“Harapan kami untuk membina portfolio yang benar-benar berdaya tahan dengan mengoptimumkan gabungan kelas aset dan geografi yang berbeza..kami amat menghargai kepercayaan dan keyakinan anda terhadap kami sepanjang empat dekad kami akan terus memikul amanah ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette