Home Nasional PTPTN Prihatin hulur bantuan kepada mangsa banjir

PTPTN Prihatin hulur bantuan kepada mangsa banjir

Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN menyerahkan kit bantuan banjir kepada salah seorang mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Jalan Klang Lama

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) cakna dan prihatin dengan situasi bencana yang melanda negara.

PTPTN melalui Program PTPTN Prihatin: Misi Bantuan Banjir Skuad PTPTN Prihatin terpanggil membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana banjir dan komited menyalurkan bantuan serta sumbangan yang sewajarnya.

PTPTN telah bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) DANA KITA yang membantu mengurus dan menyelaraskan bantuan serta barangan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengagihan bantuan serta sumbangan adalah berdasarkan kepada kelulusan pihak yang berkaitan serta selaras dengan panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kali ini, PTPTN menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada lebih 1,000 mangsa banjir yang terjejas. Setiap keluarga akan menerima sumbangan kit bantuan banjir berbentuk pemberian barangan keperluan harian dan makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, PTPTN turut turun padang membantu mangsa membersihkan rumah kediaman masing-masing yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda.

Skuad PTPTN Prihatin dan sukarelawan DANA KITA pada 20 Disember lalu telah bergerak untuk menghulurkan sumbangan kit bantuan banjir kepada mangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Penyampaian sumbangan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Saraswathy, Jalan Klang Lama telah disampaikan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Turut hadir adalah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengurus Besar Kanan PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar.

Pemberian sumbangan di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat telah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Rohani Datuk Mohd Shahir dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Seterusnya Skuad PTPTN Prihatin serta sukarelawan DANA KITA akan bergerak untuk membantu mangsa-mangsa banjir di lain-lain lokasi dan negeri termasuk di Pahang, Terengganu dan
Kelantan.- MalaysiaGazette