Home Nasional Tujuh mangsa banjir masih hilang di Pahang – KP Bomba

Tujuh mangsa banjir masih hilang di Pahang – KP Bomba

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid mengatakan sesuatu kepada Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hashim selepas sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir Selangor di Pos Kawalan Taman Sri Muda Shah Alam. Foto AFFAN FAUZI, 23 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Seramai tujuh mangsa banjir yang masih hilang dan masih belum ditemui sehingga kini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata,  kesemua mangsa hilang itu dilaporkan di Pahang.

Justeru usaha mencari dan menyelamat  sehingga kini masih giat dijalankan.

“Empat mangsa hilang di Bentong, satu masing-masing di Temerloh,  Pekan dan Raub,” katanya ketika sidang media di Bilik Operasi Bencana ,Taman Sri Muda hari ini.

Terdahulu Mohammad Hamdan berkata, pihaknya telah berjaya menyelamatkan seramai 16,636 mangsa banjir di negara ini bermula awal bulan lalu sehingga hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 13,845 mangsa di Selangor dan 2,144 pula di Pahang.

Manakala 21 orang di Kedah, 207 di Perak, 300 di Kuala Lumpur, 46 di Negeri Sembilan dan 73 di Melaka.

Selain itu katanya, JPBM telah melakukan sebanyak 1,917 pemantauan kawasan sehingga hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, bomba turut memantau kawasan dan sungai uang dijangka akan dinaiki air .

“Tujuh sungai kita pantau  tujuh itu di Pahang dan satu di Selangor iaitu Sungai Klang. Pahang pula di Sungai Pahang, Sungai Semantan, Sungai Jelai, Sungai Periang, Sungai Rompin, Sungai Kuantan dan Sungai Selat,” tambahnya. – MalaysiaGazette