KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memberikan kelonggaran kepada mereka yang terkesan akibat bencana banjir dengan penangguhan semua aktiviti yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) mulai 23 Disember 2021 hingga 29 Disember
2021.
Berikutan penangguhan ini, UTeM bersetuju untuk menganjakkan minggu kuliah mulai 12 Januari 2022 hingga 16 Januari 2022 bagi tujuan penggantian semua aktiviti yang terjejas.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Ir. Dr. Ghazali Omar berkata, penangguhan itu bagi mengurangkan tekanan pelajar yang terjejas akibat bencana banjir besar yang melanda sebahagian besar negeri ketika ini terutama di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang baru-baru ini.
Jelasnya, semua pelajar yang terkesan dengan bencana banjir boleh menghubungi fakulti masing-masing untuk maklumat terkini berkaitan aktiviti PdP.
Ghazali berkata, UTeM akan sentiasa memastikan kebajikan pelajar termasuk kesihatan fizikal dan mental mereka berada dalam tahap baik dan akan memantau secara berterusan dengan menyediakan pelan tindakan bagi menangani isu berbangkit. – MalaysiaGazette