Home Nasional Dua mangsa lemas ditemukan di dua lokasi berasingan – Polis

Dua mangsa lemas ditemukan di dua lokasi berasingan – Polis

drunk driver Perodua Bezza SKVE hit and run motorcyclists driving against traffic assault

PASIR MAS – Dua mangsa lemas membabitkan lelaki warga emas dan remaja perempuan ditemukan di dua lokasi berbeza di jajahan Pasir Mas, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun bagaimanapun berkata, kedua-dua mangsa lemas ini bukan diklasifikasikan sebagai mati lemas akibat banjir.

“Mengikut laporan, kes pertama membabitkan Mustapa Nawang, 65, yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap di Kampung Batu Lapan, Gual Periok, Rantau Panjang pada pukul 8.45 pagi tadi.

“Anak mangsa bersama beberapa rakan telah mencari mangsa setelah mangsa tidak pulang ke rumah sejak petang semalam sebelum menjumpainya di belakang sebuah rumah berdekatan dengan tempat perahunya terbalik di kawasan sawah yang dinaiki air banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sumbangan Kotak Rezeki Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi (G20 Goldwing Malaysia) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, kes kedua pula membabitkan mangsa seorang remaja, Siti Alia Nasuha Mohd Rosli, 13, yang ditemukan lemas di Sungai Pengkalan Teluk, Rantau Panjang, di sini, pada pukul 2.30 petang tadi.

“Mangsa dilaporkan pergi ke sungai berkenaan bersama keluarganya dan cuba menyelamatkan adik lelakinya, Mohd Akid Akmal, 11, yang hampir lemas tetapi sempat diselamatkan oleh bapanya.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai lemas sekitar pukul 11 pagi dan dijumpai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Mas pada jarak 40 meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat.

“Punca kematian kedua-dua mangsa ini masih dalam siasatan,” katanya. – Bernama