Home Seni Hidup MBMB sumbang 400 cerek, dapur gas untuk mangsa banjir Shah Alam

MBMB sumbang 400 cerek, dapur gas untuk mangsa banjir Shah Alam

Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) hari ini mengagihkan 400 cerek dan dapur gas mudah alih untuk kegunaan mangsa banjir khususnya di kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam

MELAKA – Musibah bencana banjir luar biasa dihadapi ribuan mangsa di Selangor dan Kuala Lumpur terus mendapat perhatian pelbagai pihak untuk tampil menghulurkan bantuan.

Terbaharu, Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) hari ini mengagihkan 400 cerek dan dapur gas mudah alih untuk kegunaan mangsa banjir khususnya di kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam, Selangor yang menjadi antara kawasan paling teruk terjejas.

Timbalan Presiden MALA, Datuk Zainal Abu berkata, keperluan diilhamkannya itu akan disampaikan melalui Bantuan Pasca Banjir Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama MALA selain turut melibatkan Majlis Perbandaran Kemaman dan Majlis Perbandaran Port Dickson keseluruhannya melibatkan hampir 100 petugas.

“Usaha ini adalah persefahaman PBT Malaysia melalui MALA yang mana hari ini MBMB menghantar 20 anggota untuk membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

“Pada 31 Disemberi ini, kita sekali lagi akan berkampung di sana untuk menyediakan makanan kepada 400 mangsa banjir di sana bermula dari pagi, petang dan malam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelepasan Pasukan Misi Bantuan Pasca Banjir MBMB bersama MALA di sini hari ini.

ZAINAL Abu (kanan) melakukan simbolik sebelum pelepasan misi bantuan

Zainal yang juga Datuk Bandar MBMB berkata, keseluruhannnya untuk kedua-dua program ini, MBMB membelanjakan sekitar RM50,000 selain turut menerima sumbangan syarikat korporat dan orang persendirian.

“Turut disampaikan adalah sumbangan berupa keperluan dewasa dan kanak-kanak, barangan pembersihan diri serta peralatan pembersihan.

“Misi ini turut akan digerakkan ke kawasan-kawasan terkesan banjir yang lain sekitar Shah Alam, Subang Jaya dan Klang,” katanya.- MalaysiaGazette